Thursday, 5 May 2011

Khabar Cinta Dari Syurga



Satu ketika dahulu, semasa saya dan keluarga tinggal di Sarawak,
saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah pusat pemulihan akhlak wanita di sana.
Kelihatan dari luar tempat ini tidak ubah seperti penjara, dengan kawalan ketat,
pagar tinggi dan dawai tajam berceracak di kelilingnya.
Penghuninya rata-rata di bawah umur lapan belas tahun. Agak lama saya berulang alik ke sana, kira-kira hampir dua tahun. Oleh kerana sudah biasa dan rapat dengan saya, mereka tidak segan silu menceritakan latar belakang dan kisah bagaimana mereka diberkas dan dihantar ke pusat tersebut.
A, seorang anak angkat dalam keluarga termiskin. Mula bekerja sebagai "pelayan kedai kopi"
(istilah yang digunakan bermakna pelacur) pada usia 14 tahun.
Menurut A, meskipun dia kurang didikan agama, dia tahu ini kerja yang menjelikkan.
Dia hairan dengan layanan keluarganya bila tahu tentang kerja yang dibuatnya.
Setiap minggu apabila dia pulang dengan beg sendat berisi wang, keluarga angkatnya akan melayannya dengan begitu mesra, tidak seperti biasa. Jika pulang dengan tangan kosong,
mereka akan memarahi dan menyisihkannya.
A sanggup bekerja menjadi "pelayan kedai kopi"
kerana itulah caranya untuk dia diterima keluarga angkatnya.
Cerita ini cukup pelik dan menyayat hati.
saya sendiri terkejut dan tidak percaya bagaimana sebuah keluarga Islam boleh berbuat demikian kepada anaknya, meskipun anak angkat, tetapi bila ditanya dengan penyelia pusat tersebut, ternyata benar.
B,17 tahun, dibesarkan oleh nenek yang amat memanjakannya. Bila remaja, B diambil semula oleh ayahnya yang menurut ceritanya terlalu garang. Akhirnya B lari dari rumah dan hidup luar nikah dengan teman lelakinya sebelum diberkas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut B,
dia merasa dirinya dibenci oleh ayah sendiri kerana selalu dimarahi di rumah.


KETANDUSAN KASIH DAN AKIBATNYA


Meskipun saya hanya paparkan dua kisah contoh tentang penghuni di pusat pemulihan akhlak tersebut, hakikatnya hampir semua penghuni pusat itu kisah hidupnya mempunyai satu persamaan :
mereka menderita justeru ketandusan kasih. Kesemua mereka terjebak dalam kancah maksiat kerana dahagakan kasih sayang, tenggelam punca kerana terasa diri tidak dikasihi, dicintai dan disayangi.
Tidak kira dari ibu bapa atau sesiapa sahaja. Bila terasa dirinya tidak dihargai, mulalah mencari sumber cinta dari luar. Hal ini berlaku terutamanya bagi golongan remaja. Bila meningkat remaja,
yang lelaki menagih cinta dari remaja wanita dan begitulah sebaliknya.
Perkataan CINTA hanya lima huruf dan dua suku kata. Namun pengaruhnya cukup berat dalam kehidupan setiap insan. Saya masih ingat kata-kata pujangga yang dicoret seorang kakak senior dalam buku autograf saya sebelum menamatkan persekolahan dahulu. Coretannya berbunyi begini:  
"To love is nothing; to be loved is something. But to love and be loved is everything."
Alangkah indahnya hidup ini apabila orang yang kita cintai membalas cinta kita. Hari-hari yang dilalui terasa sempurna dan bahagia. Alangkah bertuahnya anda yang berjaya menemui pasangan sehinggakan saling cinta mencintai setulus hati seumur hidup. Namun, bagaimanakah kita boleh menemui cinta yang luhur dan sejati ini? Jawabnya, dengan mencintai seseorang semata-mata kerana Allah.
Saya masih ingat, kali pertama saya mendengar kalimah 
"Biarlah semua yang kita lakukan itu kerana Allah. Hatta cinta sekalipun, jika mencintai seseorang biarlah semata-mata kerana Allah," saya termenung sejenak. Terasa kabur dan sukar difahami. Namun jauh di lubuk hati, saya yakin inilah cinta yang lebih baik, bermanfaat dan yang Allah mahu kita praktikkan. Apa ertinya mencintai seseorang kerana Allah , tidak kira sama ada orang yang dicintai itu sahabat,
ibu atau bapa, anak, suami atau isteri?
Mungkin paparan peristiwa di bawah boleh membantu kita memahaminya.


KISAH SETEGUK AIR 


Dalam Peperangan Yarmuk, seorang pembawa air tercari-cari pejuang Islam yang mungkin memerlukan air. Akhirnya beliau menjumpai seorang pejuang yang cedera parah dan mengerang kesakitan. Namun belum sempat pembawa air ini menyuakan air ke bibir pejuang ini, tedengar rintihan seorang pejuang lain yang berteriak "Air! Air! Berikanlah saya air!"
Pejuang pertama yang sedang nazak mengisyaratkan kepada pembawa air untuk meninggalkannya dan memberikan air tersebut kepada pejuang kedua. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua yang juga berlumuran darah dan nyata tipis peluangnya untuk hidup. Namun belum sempat pejuang kedua ini meneguk air yang dibawakan kepadanya, terdengar teriakan  
"Air! Air! Berikanlah saya air!" daripada pejuang ketiga.
Pejuang kedua juga mengisyaratkan kepada pembawa air ini untuk segera memberi air kepada orang ketiga yang berteriak tadi. Namun sesampainya pembawa air ini kepada pejuang ketiga dan belum sempat dia memberi air kepadanya, pejuang tersebut yang sedang nazak juga menghembuskan nafas yang terakhir. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua tadi, tapi dia pun telah mati syahid juga. Dia bergegas ke pejuang pertama, tapi pejuang pertama itu pun sudah meninggal dunia.
Menitis air mata si pembawa air tadi bila menyedari betapa tiga orang pejuang
ini sanggup mengorbankan keperluan masing-masing demi orang lain!
(Saya sengaja tidak menyebut nama-nama pejuang dan pembawa air dalam kisah di atas kerana beberapa sumber yang saya rujuk memberikan nama-nama yang berlainan.
Harap sudi perbetulkan jika saya silap di sini.)
Paparan kisah seteguk air di atas menunjukkan beberapa ciri cinta kerana Allah, iaitu:
-       memahami bahawa orang yang kita cintai itu milik Allah dan
dia boleh diambil olehNya pada bila-bila masa
-       Bila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita mementingkan dirinya lebih daripada diri kita sendiri meskipun ini bermakna kita mengetepikan keperluan peribadi.
Relevannya poin ini kerana dunia sekarang amat menitikberatkan individualisme,
iaitu mementingkan diri sendiri.
Kisah seteguk air jelas menggambarkan cinta yang luhur dan sejati.
Tidak kira sama ada cinta antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, anak-anak, ibu bapa atau sahabat. Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak supaya mencari cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga. Satu-satunya cinta yang membawa kita ke syurga ialah mencintai seseorang kerana Allah.
Ia tidak mudah dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang berterusan.


DIDIK ANAK DEKATI ALLAH DAHULU SEBELUM MENCARI JODOH


Buat ibu bapa yang anak-anaknya meningkat remaja, topik cinta adalah sesuatu yang perlu dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak. Pengaruh budaya luar yang mendesak perhubungan bebas antara lelaki dan wanita serta naluri semula jadi untuk mencari pasangan mewajibkan kita untuk tidak mengabaikan perkara ini. Keinginan untuk hidup berpasangan sememangnya dititipkan dalam jiwa setiap insan.
Keinginan mempunyai pasangan ini lazimnya mula terasa semasa usia meningkat remaja.
Saya pernah menghadiri suatu sessi kuliah yang penceramahnya seorang lelaki muda berbangsa Greek, memeluk Islam pada usia dewasa. Menariknya dalam kuliah ini, beliau berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menemui isterinya, seorang wanita Islam dari Malaysia. Katanya, selepas memeluk Islam,
beliau meninggalkan cara hidup lama, tidak lagi mahu ada teman wanita.
Sebaliknya beliau berpegang kepada prinsip, "Find Allah and he or she will find you." Maksudnya, "Carilah Allah dan anda akan temui gadis atau jejaka idaman hatimu." Betapa indahnya konsep ini! Saya kira ini bermakna, jika kita hendak mencari suami atau isteri yang paling sesuai, dekatkanlah diri dengan Allah dan yakinlah bahawa Dia akan pertemukan kita dengan jejaka atau gadis yang secocok dengan kita. Inilah konsep yang amat perlu diterapkan dalam jiwa remaja anak-anak dan diri kita sendiri, iaitu :
-       cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga bermula dengan cinta kepada Allah. Dari sinilah terbitnya cinta kepada orang lain seperti cinta kepada ibu bapa, suami, anak-anak dan sahabat.
-       cinta yang membawa ke syurga antara lelaki dan wanita ialah apabila pasangan lelaki dan wanita ini mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah. Ini bermakna, mendirikan rumahtangga
dengan niat untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. yang amat digalakkan oleh Islam.
-       Bila suami isteri mencintai satu sama lain kerana Allah, jika timbul konflik, masing-masing tidak egoistik, kedua-duanya akan merujuk kepada AlQuran dan Sunnah dan lebih mudah untuk maaf memaafkan. Dengan itu, perbezaan pendapat ini tidak memanjang menjadi
suatu pertelingkahan yang besar dan dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik.
Sehingga si suami bertanggapan isterinya sentiasa mendahulukan kepentingannnya dan si isteri pula merasakan dialah wanita yang bertakhta di hati suaminya.
Redhanya suami kepada isteri dan isteri kepada suami ini pada hemat saya adalah satu cara untuk
kita menambah saham akhirat dan satu lagi langkah mendekatkan kita kepada Allah dan syurgaNya.
Wallahua'lam.


~Diadaptasi dari iluvislam~

Monday, 2 May 2011

~Nilai Persahabatan Sebenar~

 
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda:
"Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya.
Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat'.
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)


Benarlah kata-kata hikmah yang selalu kita dengar iaitu
"sahabat yang tidak jujur itu ibarat dapur yang berhampiran.
Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.
Sahabat yang setia itu bagai pewangi yang mengharumkan.
Sahabat sejati menjadi pendorong impian.
Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah."


Sahabat suka dan duka kita kongsi bersama
silaturrahim kita hanya kerana Allah.
engkau ajarkanku erti hidup hanya untukNya
memberi keranaNya
menerima seadanya
Hidup bukan hanya untuk dunia semata
tapi untuk akhirat yang lebih utama..
ukhuwahfillah..


Mari sama-sama berlari untuk menjadi sahabat terbaik..untuk menggapai redha Allah.
Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah Swt.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga..


فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَى مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللّهِ آمَنَّا بِاللّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani Israel) berkatalah dia: ""Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?"" Para hawariyyin (sahabat-sahabatsetia) menjawab: ""Kami lah penolong-penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahwa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri. 
(Surah Ali-Imran 3: Ayat 52)
~Diadaptasi dari iluvislam~

~Ketenangan yang dicari~


Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh
tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah,
masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu.
Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu.
Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita.
Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?


CARILAH HATI YANG SEJAHTERA
Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia' sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.
Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi,
lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain.
Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.
Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta,
rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.
Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.


IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN
Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan,
kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan.
Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain.
Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya,
tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!


KUALITI HATI
Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.
Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas.
Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus.
Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.


Sumber Text: Gentar Rasa
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9:  Ayat ke 40)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Keikhlasan Penawar Kesulitan



Malam itu seperti biasa aku bersiap-siap untuk ke tempat latihan 'breakdance' di Dataran Tanjongmas,Muar. Tiba-tiba badan aku terasa sakit-sakit lalu menjejaskan niatku untuk keluar.Mungkin badanku tidak dapat menanggung kepenatan setelah seharian aku membanting tulang membantu kawanku,
Pain memunggah barang-barang untuk dipindahkan ke Melaka.
Petang itu aku diminta untuk membantu Pain untuk memindahkan barang-barang ke stor sementara di Jasin,Melaka.Kebetulan ketika itu aku sememangnya sedang makan angin-angin kosong di rumah.
Lalu aku memintanya mengambil aku di rumah.
Sememangnya penat menggigit badanku sesudah selesai kerja-kerja memunggah.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Jasin.Setibanya di persimpangan lebuhraya Melaka,rakanku,Prof,berhenti tiba-tiba.Aku bertanya mengapa berhenti sedangkan destinasi masih lagi sejauh 10km.Dia sekadar menggaru-garu kepala menunjukkan meter minyaknya.Huh,patutlah.Kami mula memberi buah fikiran masing-masing,namun yang terbayang hanya stesen minyak,
yang terletak di pekan lebih kurang 8km lagi.
Kemudian,Usop,memberi idea dengan berkongsi minyak dengan motor sesiapa yang masih penuh.
Mulanya rakanku seorang lagi,Akim keberatan untuk membantu kerana dia bimbang untuk mengeluarkan wangnya yang hanya tinggal beberapa keping wang biru untuk mengisi minyak.
Tiba-tiba hatiku terdetik untuk menanggung wang minyak Akim.Aku menyeluk sakuku,namun yang ada hanya RM10.Aku mula berfikir,"Apa salahnya aku bayarkan.
Lagipun situasi sedang gawat ni,lagi-lagi nak hampir maghrib".
Tanpa bercerita panjang,aku meyakinkan Akim yang aku akan membayar minyaknya.Dengas sebulat suara,Usop lincah menunjukkan kepakarannya.Alhamdulillah,
motor Prof dapat hidup semula.Kami meneruskan perjalanan.
Setelah sampai,kami meneruskankerja-kerja memunggah barang.Walaupun kepenatan,tetapi aku gembira dapat membantu rakanku serta melayan kerenah mereka.
Tepat ke pukul 6,kami singgah ke stesen minyak dan terUskan perjalanan pulang.
Sesudah mandi,aku merasa sangat penat.Aku nekad mengambil langkah ke bilik lalu aku menghempaskan badan ke katil.Ya Allah,penatnya.Aku mengalihkan pandangan ke jam dinding.
Tak apalah,baru ke pukul 8.Masih ada masa untuk rehat sebentar sebelum pergi latihan.
Aku terjaga dari tidur pada pukul 9.45,lalu aku segera mengambil wuduk dan menunaikan Isyak.Setelah selesai aku bergegas menukar pakaian.Tiba-tiba aku dapati kunci keretaku tiada.Aku bertanyakan ibu,lalu ibu berkata abangku sudah membawanya bersiar-siar.Aku merasa sangat geram.Dengan perasaan marah,aku segara mengambil topi keledarku,lalu aku nekad untuk berjalan kaki kira-kira 4km.
Ketika dalam perjalananku,aku didatangi seorang lelaki berpakaian gelap yang sedang menunggang motor yang berhenti tiba-tiba di hadapanku.Dia lekas memanggil namaku.
Pada mulanya aku berasa syak wasangka kepada  lelaki itu,namun aku merasa lega tatkala mendengar suaranya.Rupanya Akim.Kebetulan pula dia terjumpa aku di bahu jalan,
lalu dia menawarkan aku menumpang motornya.
"Takpelah,bro.Kan petang tadi kau dah 'tolong' aku"katanya.
Aku tersentak seketika dengan kata-katanya itu.Perasaan amarahku sebentar tadi dengan segera bertukar gembira.Memang benarlah,Allah Maha Adil.Dia sentiasa mengurniakan rezeki kepada hamba-hamba-Nya,tidak mengira susah mahupun senang.Kesusahan rakanku petang itu dapat diselesaikan dengan bantuanku.Dan siapa tahu,malam itu aku pula dibantu.Terima kasih, ya Allah.
"Aku mula  sedar, daripada perbuatan kecil mahupun besar, masing-masing mempersoalkan keikhlasan, walhal keikhlasan itu adalah terbitnya dari dasar hati."

Saturday, 30 April 2011

Siapakah Yang Kuat????


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya
 engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :"
Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :"
Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,
kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. "
(Riwayat Muslim)


Pengajaran hadith:
i) Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya,
 ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; 
manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
ii) Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala 
usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia,
tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
iii) Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang
 angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa
sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh
manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
iv) Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat
 Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal
tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
v) Janganlah sekali-kali disebut perkataan 'kalau' jika mengalami kerugian atau kekecewaan
kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu
gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.


لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّ‌ۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
(Surah Al-Baqarah 2 : Ayat ke 256)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Wanita Pertama Menghuni Syurga~


Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah
wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan
cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga
beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga.
Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke
rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu.
Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu,
Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan
beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya.
Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.
Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan
Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.
Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya.
Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.
Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan
terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya.
Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu. Wallahu'alam


~Diadaptasi dari iluvislam~

Kembali Kepada Fitrah



Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud:
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah)
agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui"
(Surah ar-Rum: Ayat 30).

Erti Kembali Kepada Fitrah
Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang
dari Nabi s.a.w. Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah  dalam seluruh kegiatan hidup
sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang:
"Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku,
hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".
Kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi larangan-laranganNya
yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya.
Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.
Dengan kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya, kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.
Yang berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan,
kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.

Sifat-sifat Kembali Kepada Fitrah

Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud "Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah ..."
 (Surah al-Ahzab: Ayat 21).

Iaitu mengenali dan menghayati sifat sidik - ertinya benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, matlamat. Iaitu mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak melakukan dosa;
 dalam akhlak merujuk kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara:
berhubungan dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)
Amanah perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami bentangkan  AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya;
ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);
Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka
pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;
Dalam tafsir-tafsir "amanah" itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama;
seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan; Tabligh atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah - ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya. Tabligh boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat.
Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang
bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.
Sifat fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami
persoalan-persoalan yang dihadapi  dalam hendak mempertahankan kebenaran agama
sehingga kebenarannya boleh dipertahankan dengan berkesan, sampai kepada
perkara-perkara lain yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.
Ertinya manusia Muslim mesti mempunyai "fatanah" dalam hubungan dengan ajaran untuk menjayakan kedudukannya sebagai "khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya" dalam semua urusan hidupnya,
termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
(Surah Ar-Rum 30 : Ayat ke 30)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Peliharalah Dirimu....



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
Saya ada terbaca..

"3 perkara yang boleh menghancurkan umat yang paling kuat adalah zalimnya pemimpin, berpecahnya rakyat, rosaknya wanita." 
[Mustafa As Sibaei]

Hmm.. Membuat diri ini berfikir dan berfikir lagi. Benar. Begitu sekali pengaruh wanita terhadap masyarakat dunia. Merekalah yang mampu menjadi agen perubah (kebaikan maupun kehancuran)
yang dapat memberi impak besar terhadap masyarakat.
Kata-kata di atas hakikatnya bukan sekadar teori, namun telah dibuktikan jua pada alam realiti.
Bak kata pepatah Inggeris pula, "Behind every great man, there is a great woman."
Jarang sekali seorang pemuda yang berjaya, baik dalam sahsiah dan akademiknya, melainkan
di belakangnya seorang ibu yang penyayang, yang sentiasa memberi didikan dan sokongan.
Jarang sekali seorang tokoh masyarakat yang hebat, baik dalam apa-apa lapangan,
melainkan di sisinya ada seorang isteri yang sentiasa memberi kekuatan dan inspirasi.
Ya, jarang sekali.
Kerana dalam kebiasaan, seorang lelaki dapat mejadi hebat dan sentiasa terdorong untuk mencapai cita-citanya, atas motivasi dan sumber kekuatan yang diperoleh dari seorang wanita,
yang tidak jemu memberi sokongan kepadanya, dalam suka maupun duka.
Merekalah yang menjadi isteri, yakni sayap-sayap kiri
bagi pemimpin-pemimpin harapan pada hari ini.
Mereka jualah ibu, sekaligus merupakan pendidik pertama dan utama
kepada generasi umat masa hadapan.
Maka sungguh saya katakan pengaruh wanita amat besar terhadap dunia.
Oleh itu, sajak ini tercipta. Saya dedicate sajak ini kepada,
kakak saya dan juga saudara-saudara perempuan seIslam semua..
Dan kepada ibu, thanks for everything.. Can never repay you.
Moga-moga mesej yang disampaikan dapat mencetus aspirasi kepada semua. Amin.

Pelihara Dirimu
Pelihara dirimu,
Wahai mawar berduri.
Dirimu suci,
Seindah perhiasan diberi.
Jangan pula kau cemari diri,
Dek hitam debu duniawi.
Datangnya Islam mengangkat martabatmu,
Terciptanya syariat demi memelihara dirimu,
Sayangi dirimu,
Dan ketahuilah, Allah jua amat kasih padamu.
Oh mawar berduri,
Pelihara peribadi,
Hargai maruah diri,
Dan dirimu akan menjadi penyeri,
Keindahanmu mampu mengatasi segala perhiasan duniawi.
Jangan sesekali kau goncang iman sang lelaki dengan lirik manjamu,
Sebaliknya, kau goncanglah dunia dengan keteguhan imanmu!
*****

Sumber Rujukan/Ilham:

1. Hanyasanya engkau, wanita solehah;
"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
[HR. Muslim]

2. Pelihara Maruahmu;
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, ... "
[Surah An-Nur (24): 31]

Jumhur ulamak berpendapat (berdasarkan hadis-hadis) bahawa yang
'biasa tampak darinya' dimaksudkan dengan muka dan telapak tangan.

3. Tabarruj? Engkau tidak perlukannya...
"... janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah..."
[Surah Al-Ahzab: 33]

4. Contohi mereka, tidak perlu kau lunak-lunakkan suaramu;
"Wahai istri-istri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, 
jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga
berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik."
[Surah Al-Ahzab (33): 32]

5. Jangan jadi fitnah bagi kami!
"Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita"
[HR. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah]

Wahai muslimah, pelihara dirimu jua ketika berada di alam maya  
(jangan terlalu mesra dengan bukan mahram..).

'Dunia tanpa batasan' katanya? Sedangkan batas-batas pergaulan dalam Islam itu perlu sentiasa dijaga.
** Kalaulah para muslimah solehah itu tahu, betapa diri mereka 
mampu menggoncang hebat iman sang lelaki...

~Diadaptasi dari iluvislam~

Thursday, 28 April 2011

Tak Mampu Kehilangan Cinta..


Ketika  kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar,
hidup mereka penuh ceria, penuh dengan gurau mesra.
Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama.
Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi,
tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya.
Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar.
Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua
bergurau dan berbual  dengan mesranya.
Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu.
Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju.
Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang.
Manakala si isteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.
Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua.
Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik.
Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas.
Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar.
Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.
Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang.
Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya.
Manakala si isteri juga sibuk mempromosi produk jualannya.
Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan.
Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan
kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu... hampir tidak pernah lagi.
Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu,
maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu.
Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa.
Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.
Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.
Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga?
Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga.
Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk  membina sebuah keluarga yang bahagia?
Jika si suami ditanya, untuk apa kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam?
Tentu jawabnya, kerana isteri aku!
Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya kerana suami.
Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya... demi anak-anak.
Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?
Kita sering terlupa yang kemewahan hidup - harta, rumah, kereta dan sebagainya
bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini.
Kita memburu alat untuk mencapai matlamat.
Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita.
Begitulah sewajarnya.
Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar.
Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat.
Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali
tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup.
Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja.
Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.
Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang.
Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah.
Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja 'part time'.
Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.
Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri?
Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami?
Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?
Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan.
Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme.
Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi.
Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga.
Nantilah, aku akan ini, aku akan ini...
Begitulah selalunya diri kita memberi alasan.
Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan.
Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara,
nantilah kita akan bahagia!
Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan.
Temuilah bahagia ketika kita mencarinya. 
Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.
Carilah harta, tetapi genggamlah cinta.
Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya.
Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun.
Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.


Hukum-Hukum Cinta
Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah:
Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab,
cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.
Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa,
perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita.
Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata.
Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.
Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.
Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah,
Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.
Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.
Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah.
Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.
Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.
Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya.
Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan
sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.
Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.
Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah.
Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.
Jadilah dunia umpama kebun yang kita pagar, kita bersihkan dan
kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat.
Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.
Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan.
Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan.
Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.
Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier,
kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan,
insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.
Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada
ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.
Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.
Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya
menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.
Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang
di tengah-tengah rumah yang besar.
Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang
beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu.
Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti.
Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton,
tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!
Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa sibuknya baginda...
tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya.
Betapa besar perjuangannya... tetapi masih mampu meluangkan masa
bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya.
Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta.
Ketika baginda miskin... dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta.
Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar...
cinta Allah!


Ayuh Intai-Intai Semula


Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar?
Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya?
Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?
Ayuh, lihat kembali 'di mana Allah' dalam rumah tangga kita?
Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran...
Di manakah semua 'ayat-ayat cinta' itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas,
kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat,
tabungan kewangan yang semakin banyak?
Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami... tatap lama-lama.
Bila kita terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang,
harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila?
Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati?
Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan,
tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati?
Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi 'haiwan berteknologi'
dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta?
Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan,
sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya?
Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas  berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, "inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!"
Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.
Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu.
Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar.
Kekosongan yang tidak dapat  di isi. Kerana hati tanpa cinta...
adalah hati yang mati!
Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula
cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.
Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?
Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.
Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya.
Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta.
Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?
Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!


Sayang... di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia
Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela
Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut  senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
... rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah...
cinta kita  semakin indah
Semakin jauh...
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!


~Diadaptasi dari iluvislam karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi~

Lagi Sayang... Lagi Diuji ...



"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?"
satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.
"Macam mana kalau tak betul?"
Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.


Adikku,
Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki.
Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.
Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu.
Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?
Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak
kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. 

Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: 
"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya
(sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) 
dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya),
dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan 
(yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." 
(Surah Ar-Rum: 36-37)

Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu

Adikku,
Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? 
Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?
Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah 
berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran?
Atau kamu masih angkuh menafikannya?
Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu,
kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku.
Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka?
Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? 
Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada 
baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.
Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan 
kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?
Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. 
Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati.
Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.

Ujian Ini Nikmat Keimanan

Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman.
Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:
"Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,
maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."  
(Surah Al-Ankabut: 3-4) 

Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? 
Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, 
sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?
Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?

Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah

Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. 
Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur.
Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?
Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? 
Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. 
Begitukah yang kamu mahu?
Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. 
Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. 
Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. 
Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari,
lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian,
apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? 
Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya.
Rasulullah saw. bersabda:  
Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.

Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

~Diadaptasi dari iluvislam~