Thursday 29 September 2011

Setiap Saiz Ada Ukurannya....

"Setiap orang yang bergelar muslim punya tanggungjawab untuk berkhidmat kepada ummat, walaupun dengan sekecil-kecil kebaikan. Memberi itu adalah pada kadar kemampuan masing-masing, tidak perlu melihat langit yang tinggi sehingga terlupa bumi yang dipijak."

Ya. Begitulah bunyinya. Bagaimana pula kefahamannya?

Para pemimpin dan tokoh berpengaruh, peranan mereka umpama memikul bukit yang besar. Tanggungjawab mereka lebih besar ke atas ummat ini. Suara mereka suatu kelebihan untuk didengar dan diikuti. Da'wah mereka suatu da'wah yang lebih hampir di hati. Suatu kerugian jika anda seorang yang berpengaruh dan anda ada suara yang didengari ramai, tetapi anda menggunakannya pada jalan yang tidak sepatutnya.

Alangkah ruginya jika anda seorang bos, tetapi anda membiarkan staff-staff anda tidak bersolat jema'ah. Sedangkan anda mampu menyediakan suatu ruang solat di syarikat anda, dan anda pula mengimami solat mereka. Bukankah solat berjemah itu pemangkin produktiviti?

Alangkah ruginya jika anda seorang menteri agama, tetapi anda tidak berusaha mendedahkan ummat ini kepada ajaran Islam yang sebenar dan menyatukan mereka semua bawah satu kalimah. Ummatan wasatan (أمة وسطا – ummat bersederhana / pertengahan) yang dicanang-canang tu bukanlah ummat yang berendah diri atau lemah bersederhana dalam berkomunikasi dan tindakan, tetapi ummat gagasan al-Quran itu adalah ummat yang kuat jati diri dan tinggi kemahuan mereka untuk melihat Islam menjadi ajaran yang dipraktikkan dalam komuniti setiap pelusuk dunia.

Jika anda seorang pelajar pula, bersabarlah, tugas anda tidak sampai ke tahap menasihati pemerintah yang zalim lagi. Semangat muda memang membara, tetapi seringkali ramai yang mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka terhadap diri, ibu bapa, dan agama mereka – belajar. Belajar dengan sebenar-benar makna belajar. Menuntut ilmu.

Itulah tugas sebenar seorang pelajar kepada ummat. Tidak perlu sibuk berpolitik lagi kerana telah ada mereka yang memperjuangkannya sementara menunggu anda menggantikan mereka. Mereka juga mengharapkan anda mencedok sebanyak mana ilmu yang ada sebelum benar-benar terjun ke perjuangan sebenar yang lebih banyak tipu daya dan dugaannya.

Bagaimana kita mahu mencorak ummat ini jika pena yang kita bawa itu berkarat tak berdakwat?

Cuba anda fikir, jika anda gagal dalam menuntut ilmu, mampukah anda meneruskan perjuangan menegakkan Islam yang lebih besar? Silap haribulan, andalah yang akan menggagalkan perjuangan tersebut!

Seterusnya, jika anda seorang peniaga pula, ada ruang di sana untuk anda membantu ummat ini. Sumbangan anda tidak hanya terhad pada menyumbang wang ringgit kepada fakir miskin sahaja. Mungkin ada yang tidak mampu. Namun, anda boleh menyumbang kepada ummat ini dengan mengamalkan prinsip jual beli yang diajar dalam Islam. Jangan memberi atau mengambil riba. Mencukupkan timbangan. Tidak menipu dalam muamalat. Bersedekah.

Insyaallah jika semua konsep muamalat Islam itu dipraktikkan, ekonomi ummat ini akan turut kukuh dengan izinNya. Jauhi konsep konvensional yang nampak gah diluarnya, tapi lompong di dalam.

Begitulah seterusnya.

Setiap orang ada tahap dan kemampuannya untuk menyumbang. Ada kadarnya dalam berkhidmat kepada ummat. Yang kecil menyumbang sekadar mampunya, yang besar menyumbang semampu-mampunya!

-Artikel iluvislam.com



Bersediakah Anda Menjadi Suami????

Kebiasaan masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi suami, mereka menyangka ia adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang diploma. Telah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500, diikuti dengan sebuah rumah dan kereta.

Tidak ketinggalan, wang tunai berjumlah RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti duit hantaran, dulang-dulang hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki belum memiliki semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.

Namun dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami bukanlah seperti di atas.

Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut dan inilah yang akan diperincikan di sini..

KEPIMPINAN

Persediaan terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab sebagai

pemimpin ke atas keluarganya.

Allah berfirman :
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan." - [al-Nisa' 4:34]

Sebagai pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumahtangga, akhlak yang menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi serta wawasan yang luas.

Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab, persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah

pengalaman yang boleh dikembangkan dalam kepimpinan rumahtangga.

Bagi yang belum pernah, maka alam rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin.

Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan pemimpin untuk bersama-sama saling membantu mengemudi bahtera rumahtangga.


Di sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi pemimpin yang ego dan zalim. Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan dipersoalkan semula oleh Allah pada Hari Akhirat kelak.

KETEGASAN

Lanjutan dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas dalam membimbing anak-anak.

Allah mengingatkan:
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - 
[al-Taghabun 64:14]

Oleh itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan bukan yang dipimpin, penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya dikawal. Namun ketegasan bukanlah bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka.

PEMELIHARA DARI API NERAKA

Suami merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke dalam api neraka.

Firman Allah :
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." - [al-Tahrim 66:06]

Justeru anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan mereka mempraktikannya. Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi anda tidak solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi anda mendedahkan aurat.

Allah memberi amaran:"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." - [al-Saff 61:2-3]
MEMBERI NAFKAH

Termasuk persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan rumahtangga. Justeru anda bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas dalam tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli keluarganya. Anda juga bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya mereka jatuh sakit.

Meskipun nafkah rumahtangga berada di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti memiliki pendapat minima yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang berbeza dan setiap suami berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar kemampuannya. Tidak ada nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.

Allah berfirman :
"Hendaklah orang (suami) yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu)." - [al-Thalaq 65:07]

Demikianlah beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini tidak ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan tertentu bagi menentukan layak atau tidak.

Ia adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda mengabaikannya.

Justeru, lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki yang mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus memperbaikinya.

- Artikel iluvislam.com -