Thursday 28 April 2011

Tak Mampu Kehilangan Cinta..


Ketika  kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar,
hidup mereka penuh ceria, penuh dengan gurau mesra.
Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama.
Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi,
tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya.
Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar.
Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua
bergurau dan berbual  dengan mesranya.
Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu.
Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju.
Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang.
Manakala si isteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.
Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua.
Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik.
Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas.
Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar.
Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.
Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang.
Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya.
Manakala si isteri juga sibuk mempromosi produk jualannya.
Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan.
Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan
kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu... hampir tidak pernah lagi.
Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu,
maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu.
Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa.
Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.
Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.
Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga?
Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga.
Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk  membina sebuah keluarga yang bahagia?
Jika si suami ditanya, untuk apa kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam?
Tentu jawabnya, kerana isteri aku!
Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya kerana suami.
Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya... demi anak-anak.
Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?
Kita sering terlupa yang kemewahan hidup - harta, rumah, kereta dan sebagainya
bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini.
Kita memburu alat untuk mencapai matlamat.
Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita.
Begitulah sewajarnya.
Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar.
Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat.
Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali
tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup.
Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja.
Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.
Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang.
Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah.
Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja 'part time'.
Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.
Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri?
Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami?
Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?
Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan.
Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme.
Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi.
Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga.
Nantilah, aku akan ini, aku akan ini...
Begitulah selalunya diri kita memberi alasan.
Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan.
Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara,
nantilah kita akan bahagia!
Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan.
Temuilah bahagia ketika kita mencarinya. 
Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.
Carilah harta, tetapi genggamlah cinta.
Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya.
Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun.
Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.


Hukum-Hukum Cinta
Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah:
Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab,
cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.
Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa,
perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita.
Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata.
Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.
Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.
Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah,
Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.
Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.
Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah.
Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.
Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.
Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya.
Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan
sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.
Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.
Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah.
Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.
Jadilah dunia umpama kebun yang kita pagar, kita bersihkan dan
kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat.
Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.
Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan.
Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan.
Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.
Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier,
kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan,
insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.
Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada
ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.
Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.
Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya
menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.
Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang
di tengah-tengah rumah yang besar.
Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang
beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu.
Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti.
Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton,
tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!
Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa sibuknya baginda...
tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya.
Betapa besar perjuangannya... tetapi masih mampu meluangkan masa
bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya.
Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta.
Ketika baginda miskin... dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta.
Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar...
cinta Allah!


Ayuh Intai-Intai Semula


Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar?
Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya?
Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?
Ayuh, lihat kembali 'di mana Allah' dalam rumah tangga kita?
Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran...
Di manakah semua 'ayat-ayat cinta' itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas,
kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat,
tabungan kewangan yang semakin banyak?
Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami... tatap lama-lama.
Bila kita terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang,
harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila?
Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati?
Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan,
tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati?
Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi 'haiwan berteknologi'
dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta?
Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan,
sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya?
Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas  berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, "inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!"
Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.
Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu.
Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar.
Kekosongan yang tidak dapat  di isi. Kerana hati tanpa cinta...
adalah hati yang mati!
Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula
cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.
Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?
Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.
Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya.
Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta.
Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?
Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!


Sayang... di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia
Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela
Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut  senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
... rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah...
cinta kita  semakin indah
Semakin jauh...
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!


~Diadaptasi dari iluvislam karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi~

Lagi Sayang... Lagi Diuji ...



"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?"
satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.
"Macam mana kalau tak betul?"
Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.


Adikku,
Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki.
Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.
Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu.
Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?
Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak
kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. 

Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: 
"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya
(sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) 
dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya),
dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan 
(yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." 
(Surah Ar-Rum: 36-37)

Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu

Adikku,
Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? 
Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?
Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah 
berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran?
Atau kamu masih angkuh menafikannya?
Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu,
kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku.
Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka?
Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? 
Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada 
baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.
Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan 
kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?
Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. 
Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati.
Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.

Ujian Ini Nikmat Keimanan

Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman.
Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:
"Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,
maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."  
(Surah Al-Ankabut: 3-4) 

Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? 
Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, 
sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?
Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?

Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah

Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. 
Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur.
Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?
Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? 
Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. 
Begitukah yang kamu mahu?
Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. 
Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. 
Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. 
Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari,
lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian,
apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? 
Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya.
Rasulullah saw. bersabda:  
Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.

Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

~Diadaptasi dari iluvislam~

Kehebatan Perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih'! !


"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi (orang New Zealand),
semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan universiti.
"Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.
"Cheers!" Dia membalas.
Dalam satu kejadian lain,
"Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta seorang makcik.
"Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan kepada makcik yang meminta.
"Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'!Sweet lah makcik ni~
Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa yang tertentu, telinga saya menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling.
Kemudian, saya berfikir dan menilai, lantas belajar tentang erti kehidupan.
*****
Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.
"Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat berfikir,
memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.
Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.
"Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah, mahupun mengarah.
Saya diam. Kad rumah dikeluarkan, pintu dibuka.
Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada kawan sekeliling.
Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat perbincangan,
dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.
"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah',"
Saya memulakan bicara.
"Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.
"Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan 'tolong'.
Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya.
Semua pun nak beri arahan,"
"Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini,
kalau nak minta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan,
"Please". Kalau tak di awal ayat pun,
di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan "Please" tu."
Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan.
Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang
penting dalam menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.
Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau susah
rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.
Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri.
Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu.
Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.
Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam komuniti
supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain.
"Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula." Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah.
Sedangkan, kalau difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.
Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima kasih' tidak dilafazkan.
Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu.
Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut,
tetapi, bukankah itu adab?
Orang berbudi, kita berbahasa..kan?
Tahun lepas banyak turning point kepada diri.
Salah satunya adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki bas.
Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu. Dikatakannya, "University."Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut berkata, "Sorry?" Sambil air mukanya berubah. Rakan saya mengulang perkataan yang sama,
"University." Pakcik tersebut,"Again?"
Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati,
 "Eh, teruk sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"
Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak berubah, tetap tersenyum.
Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah,
sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.
Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa pakcik tersebut marah?
Apa yang kami buat?
Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya.
Rakan saya berkata, "Mesti sebab kita tak guna perkataan 'please'.
Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."
Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap, sambil berfikir.
Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan seharian,
bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan amalkan nilai dan adab."
Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah 'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.
Marah tiada, tapi terkejut. Langsung,
bersyukur kepada Allah SWT yang mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup.
Erti hidup yang sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling
yang telah memberi khidmat dan bantuan.
Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup sehari-hari!
Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta!
Manners are not born with us, they are acquired.


sumber : Nur Syamimi Mohamad Napis merupakan salah seorang 
krew iLuvislam.com yang sedang menuntut 
di Victoria University of Wellington, New Zealand. 

Menegakan Benang Yang Basah!!



Menegakkan benang yang basah sesukar menegakkan benang yang kering!
BERTEKAK dan berdebat untuk menegakkan yang batil, 
yang bohong dengan kelentong kata dan auta nada suara boleh meyakinkan orang buat seketika. 
Lama-lama nanti, segala omong-omong yang kosong isinya, bukti-bukti yang hanya didengar-dengar, 
segala konon-konon yang direka-reka akan diketahui orang sebagai hampeh.
Seperti menegakkan benang yang basah, ia hampir mustahil kecuali 
jika benang yang basah itu sentiasa diregang!
BERMUSYUARAH dan berhujah untuk menegakkan yang hak, 
yang benar dengan inti kata dan intonasi nada suara, boleh meyakinkan orang. 
api hanya buat seketika. Lama-lama nanti, segala hujah-hujah yang penuh isi, bukti-bukti yang sahih, 
segala dokumen-dokumen yang diunjukkan akan dilupakan orang juga.
Kalau menegakkan benang yang basah itu hampir mustahil, 
cubalah menegakkan benang yang kering pula. Ia pun sama sukarnya.
Maknanya, mewujudkan kebatilan dan menegakkan kebenaran sama-sama payah. 
Terkekehlah dia yang dipercayai kerana pembohongannya.
Terkilanlah dia yang tidak diyakini meskipun berkata benar.
Usah gembira wahai si pembohong. Jangan berduka wahai anda yang berkata benar.
Penerimaan orang kepada yang benar atau yang salah, yang hak atau yang batil itu bergantung kepada sekukuh mana hati si pendengar tersambung pada tali ALLAH.
Kalau keburukan ada di dalam hatinya, dia terhijab dari mengenal kebaikan dan kebenaran. 
Dia akan menerima yang batil sebagai benar, yang benar sebagai batil. 
Sebaliknya, kalau taqwa ada di dalam hatinya, 
dia tangkas mengenali siapa si pembohong dan siapa yang berkata benar.
Sekilas ikan di air sudah dia tahu jantan betinanya. 
Hanya jauhari yang mengenal manikam.

~Diadaptasi dari iluvislam~

Mata oh Mata, mengapa engkau Liar??


Babak 1
Sop: Kau tahu tak, Zetty tu dulu free hair.. Tiba-tiba je datang kesedaran nak pakai tudung.
Meon: Ye ke??!! macam tak percaya je..
Sop: Ha ah.. ok gak la.. dalam majalah sekolah ada lagi gambar dia.. kau nak tengok?

Babak 2
Pada suatu hari Sop dan Meon sedang berjalan-jalan di kotaraya London. 
Tiba-tiba mereka terlihat kelibat seorang wanita bertudung labuh ala-ala filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB).
Sop: Eh, ada gadis mcam dalam KCB la...
Meon: Mana? Mana? Mana?
Sop: Tuuu...tengah jalan ramai2 depan Madame Tusod..
Meon: Ooooooo..... macam kenal, yang pakai tudung kaler merah jambu tu ke?

Babak 3
Sop dan Meon menyambung kembara cuti musim bunga mereka di bandaraya Dublin.
Cuaca semakin panas.
Sop: Astaghfirullahal azim, singkatnya skirt minah saleh tu...tak solehah langsung...! !
Meon: Eh ye ke? Yang mana satu?  Yang skirt oren tu ke?
Sop: Tak, yang kaler biru , blouse biru muda tu..
Meon: Ha ah la..betul lah cakap kau...

Ada apa dengan mata?
Untuk jadi hebat, kita perlu menutup dan menundukkan pandangan. 
Ini bukanlah bermaksud semuanya kena pejamkan mata 24 jam (penat juga tu), 
atau membina dinding dan tembok batu sepanjang masa atau semasa kuliah-kuliah agama sahaja, tetapi menjaga dan memelihara kedua mata kita daripada MENJADI LIAR.
Apabila datangnya peluang terbentang di hadapan kita, samada semasa sedang berseorangan,
atau sedang berdua bersama rakan karib, atau bersama masyarakat umum,
kita mestilah bertindak SEGERA dan PINTAR untuk tidak mengamati kecantikan wanita yang terbentang dan segeralah mengalihkan pandangan daripadanya sambil bersyukur dan beristighfar.
''Alhamdulillah, Allah jaga mata dan hati aku. 
Ya Allah, ampunlah dosa aku, moga Allah beri yang lebih baik''

Allah berfirman :
"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, 
mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." - 
[Surah Al-Mulk :12]

Kalau dahulu dia tidak bertudung, atau kurang menutup aurat, 
perlukah kita menatap gambar-gambar 'lama' itu lagi? Fear Allah brothers...
malulah sebab mereka itu sudah diberikan hidayahnya. Kita bila lagi?
Kalau ternampak kelibat wanita yang berjilbab dan menutup aurat samada di majlis ilmu atau di jalanan, malulah dan pandanglah tempat lain. Itu bukan HAQ mu.. 
Allah boleh ganti dengan yang lebih baik.
Kalau diberikan peluang melihat aurat wanita, takut dan malulah,
kerana itu akan merendahkan darjat matamu dan merosakkan amal,
sekaligus hati menjadi lali dan tidak tenteram.

~Diadaptasi dari iluvislam~

~Bayaran Sebuah Kemaafan~




Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w.,
Rasulullah bersabda:
Musa bin Imran bertanya: "Hai Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling mulia di sisiMu? 
FirmanNya: 
"Siapa yang mengutamakan kemaafan sedangkan dia mampu untuk membalas kejahatan orang lain."
Saya merasakan bahawa perkara yang paling mahal saya terpaksa bayar dalam perjalanan
kehidupan ini adalah; sebuah perpisahan.
Membayarnya adalah sesuatu yang sangat menyedihkan.
Seseorang itu sepatutnya bersedia, redha, sabar di saat hati yang dihiris dengan kesedihan.
Kita selalu lupa bahawa setiap orang yang telah menambah nilai erti kehidupan kita akan berakhir.
Mereka akan pergi meninggalkan kita. Atau kita jua akan berjauhan meninggalkan mereka.
Hari ini kita telah menjadi seseorang.
Kita telah menemui pelbagai ragam manusia yang mungkin menyakitkan,
mungkin juga menggembirakan. Kita telah pelajari sebuah kehidupan yang sebenar.
Adakah kita berterima kasih kepada mereka?
Yang pernah menambah asam garam dalam resepi kehidupan ini?


TERIMA KASIH
Kita seringkali mendengar, "manusia tidak pernah lari dari buat kesilapan",
untuk kita sentiasa akui bahawa setiap orang mengaku ketidak sempurnaan dirinya.
Frasa itu juga mengajar kita bahawa "manusia belajar melalui kesilapan",
walaupun yang membuat kesilapan itu daripada orang yang lain.
Adakalanya kita rasa sakit hati atas perbuatan seseorang itu.
Mungkin sakitnya hati itu tidak dirasai oleh orang yang menyakiti. Mungkin juga dia disakiti.
Namun kita tidak sedar bahawa dia mungkin pernah mengajar kita erti kehidupan lebih banyak dari apa yang dia sakitkan hati kita. Mengapakah kita terlalu keras hati sehingga terlalu mahal harga kemaafan kita?
Tak mahu bertanya sapa, tak mahu mendekati, tak mahu dan tak mahu.
Kerana mungkin kita terlalu sayangkan hati kita? Kuat merajuk? Mungkin?


SELAMAT TINGGAL
Mengapakah seseorang itu merumitkan lagi masalah dengan tidak memaafkan?
Sedangkan, lebih mudah menghabiskan cerita yang rumit itu dengan memaafkan?
Kita sebenarnya telah membayar harga yang lebih mahal kerana itu, iaitu dengan memendam sakit hati, berpisah, dan dendam – hanya kerana enggan memaafkan.
Tahukah kita bahawa Rasulullah saw. telah menjadi orang yang berjaya kerana dirinya yang sangat pemaaf? Baginda dibenci, Baginda dicaci, didengki, namun kerana memahami semua itu 
adalah hakikat manusiawi, Baginda memaafkan.
Kita mungkin boleh berfikir sendiri, akan manusia yang sangat terpuji akhlaknya.
Mungkin Rasulullah itu maksum, bersih hati jiwanya, dan kita tak mampu lakukannya.
Tapi bukankah nabi diturunkan agar kita mencontohinya?
Kita bakal lagi akan diuji dengan pelbagai lagi ragam manusia.
Tetapi kita tentu akan tenteram jika kita memaafkan mereka.
Usah merumitkan lagi cerita jika penyelesaiannya hanya dengan membayar
sebuah kemaafan andai mereka pernah menjadi rakan, kenalan, atau keluarga kita.


Maafkan sahaja.
Kembalilah bersaudara.
Andai Habil dibunuh kerana hilang rasa persaudaraan daripada satu pihak.
Andai agama ini pernah membayar harga persaudaraan itu dengan jenuh dan letih dalam berhijrah. Mengapakah kita menggadaikan persaudaraan itu semudah-mudahnya,
angkara perkara yang kecil,tetapi dibesar-besarkan?


Rugilah orang yang memutuskan persaudaraan.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.
Sebab itu damaikanlah
(perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah,
supaya kamu mendapat rahmat." - 
[Al-Hujurat : 10]
~Diadaptasi dari iluvislam~



Lazatkah Maksiat??


Kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada dua perkara,
sama ada berada dalam maksiat atau taat.
Apabila Rasullulah s.a.w menyebut "halawah-al-iman" (kemanisan iman),
fahamlah kita bahawa iman itu manis.
Taat kepada Allah itu manis. Membaca Al-Quran,
solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya, semua itu manis.
Namun, kenapa sukar benar merasai kemanisan ini?
Mungkin kerana hati kita sedang berlazat-lazat dengan maksiat hinggakan maksiat itu terasa manis.
Maka, hilanglah lazat dalam ketaatan. Bahkan ketaatan terasa tawar dan pahit.  
Taat dan maksiat takkan bertemu dalam situasi hati yang sama.
Persoalannya, lazat sangatkah maksiat sehingga kebanyakan kita lebih 
sanggup memilih maksiat berbanding taat? 
Terlalu banyak akibat maksiat yang akan menekan kita setelah melakukannya.
Tika itu, masih lazatkah jiwa? Mari kita telusuri beberapa akibat maksiat.
01.Tidak Memberi Cahaya dalam Hidup
Usia remaja seharusnya difokuskan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu bersungguh-sungguh.
Seterusnya proses menuntut ilmu itu berterusan sehingga ke liang lahad.
Namun, jika hidup disibukkan dengan maksiat, masih adakah ruang untuk ilmu melekat?
Mungkin ada yang keliru,
"Kenapa ada kawan saya ni, Nampak enjoy je selalu, tapi bila peperiksaan dapat cemerlang juga?"
Banyak tafsiran yang boleh dibuat daripada situasi ini.
Remaja itu mungkin tidak nampak bila kawannya belajar.
Menjadi sunnatullah, sesiapa yang berusaha dia akan dapat.
Walaubagaimanapun, sesiapa yang berusaha mendapatkan ilmu dalam keadaan dia
bergelumang maksiat, ilmu itu tidak akan memberi cahaya dalam hidupnya untuk mencapai
kedudukan yang mulia di sisi Allah sama ada di dunia ataupun akhirat.
Kalau begitu pun kawannya cemerlang tanpa belajar malah sibuk dengan maksiat lagi,
maka haruslah difahami bahawa itu nasibnya ketika itu sahaja.
Sikap itu tidak akan menjamin kejayaannya pada masa-masa akan datang.
Sijil yang bakal digenggamnya hanya melambangkan ilmunya sekadar teori tanpa kualiti.
Tidak akan ada berkat. Tidak akan ke mana-mana.
Jadi kenapa remaja harus memilih untuk meniru maksiatnya?
Apakah perlu untuk cemerlang sepertinya dengan melakukan maksiat?
Sah, kena tipu dek syaitan!
Imam al-Syafi' pernah mengadu kepada gurunya Waki' mengenai hafalannya yang terjejas.
Waki' lantas menasihatkannya, "Tinggalkan maksiat."
02.Disempitkan Hidup
Sama ada kita kaya atau miskin,  jika kita suka berlazat dengan maksiat, hidup akan terasa sempit.
Wahai remaja, adakah anda melihat seorang pemimpin berwibawa yang
skandal seksnya terbongkar itu tenang hidupnya?
Adakah si miskin yang mencari rezeki dengan mencuri itu tenang hidupnya?
Adakah artis terkenal yang bebas berkepit dengan mana-mana pasangan itu tenang hidupnya?
Tidak! Tidak! Jiwa mereka akan jatuh miskin kerana maksiat.
Jiwa mereka gersang. Yang ada hanyalah kerisauan dan kesepian hati.
Jika tujuh gunung emas dibentangkan di hadapannya,
ia takkan mampu menjadi penawar terhadap kebimbangannya akibat daripada maksiat.
Bukan sahaja Allah akan menghukum, malah di dunia lagi masyarakat akan menghukumnya.
Tekanan akan lebih membunuh  jiwanya apabila ditikam perasaan terasing.
Lebih-lebih lagi apabila keluarga dan rakan baik mula menjauhkan diri darinya.
Dia tentu bertambah sukar menghindari maksiat malah mungkin
mencari penyelesaiannya dengan maksiat baru pula.
Maksiat itu bukan sahaja menyempitkan jiwa malah menyempitkan harta.
Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya seseorang hamba tidak akan mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya."
Jelas ketaatan itu melimpahkan kekayaan,
sebaliknya maksiat mendorong kepada kefakiran jiwa dan harta. Bukan itu sahaja,
penggemar maksiat akan menemui kesulitan dalam urusannya dan jalan buntu dalam banyak perkara.
03.Melemahkan Hati dan Badan
Kekuatan Mukmin adalah pada hatinya. Ia raja kepada anggota badan.
Apabila hatinya kuat, maka anggotanya kuat dan tindakannya juga bermanfaat.
Ahli maksiat, biarpun badannya kuat tetapi hatinya lemah dan sentiasa gelisah.
Bayangkan kekuatan orang Parsi dan Rumawi yang tamadunnya sangat pesat
dan memiliki kekuatan perang yang lengkap namun dapat ditundukkan oleh generasi
para sahabat yang lebih kuat hatinya.

Abdulah bin Abbas berkata:
''Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, 
kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta
kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya'' .

Paling menakutkan, ahli maksiat akan dihukum Allah dalam bentuk
lemah anggota badannya untuk melaksanakan ketaatan, terputus jalan-jalan kebaikan
baginya dan kemudian mati dalam kemaksiatan. Sewaktu dibangkitkan kelak,
diri pasti mengeluh kesal.

"Aduhai, sekiranya dulu aku berbuat sesuatu untuk hidupku sekarang ini"
 (surah al-Fajr 89:24).

Sama-sama kita muhasabah semula diri kita. Lihat sejauh mana
kemaksiatan dalam diri yang masih menghalang dari kita
untuk mendapat keberkatan dalam diri.
Wallahua'lam.


Artikel dipetik dari Majalah Solusi Isu No. 23 
yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha Bt Mohd Noordin. 
Beliau merupakan kolumnis tetap bagi majalah Solusi di dalam ruangan Remaja.

Jauhkan Rindu

Bila rindu kembali menjengah,
Menyusup datang melalui sekeping gambar,
Begitu terasa bibirku bergetar,
Begitu terasa kakiku makin longlai.

Ku lihat pada jari-jemariku,
Menggigil dalam bahang tengah hari,
Ku sentuh pada bibirku,
kering mengelupas,
Ku letakkan tangan pada dadaku,
Degupannya menjadi deras.

Ku lihat wajahku dalam refleksi,
Warnanya pucat membiru,
Tiada kilauan dalam mata,
Tiada cahaya pada wajah.
Hanya kelesuan jelas kelihatan.

Yang lain menggelar rasa ini 'cinta',
Lalu mereka hairan aku menolak 'cinta',
Tapi aku pasti ianya adalah 'petaka' ,
kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,
Rindu ini rindu yang mencemarkan,
Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,
Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.

Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.

Kini,
Jika  rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.

Aku tak mahukan rasa ini,
Aku tak mahukan rindu ini.

Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku  dari melihat jalan-Mu,
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.

Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.

Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,
kerna aku takut pada bayangannya,
Kerna ku tahu jatuh cinta itu,
Hanya bisa pada Tuhan,
Kerna ku tahu nafsu ini,
Sering membawa ke arah kejahatan,
Yang datang dari godaan syaitan.

Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari 'petaka' rindu ini,
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,
Cinta yang kekal dan abadi.

~Diadaptasi dari iluvislam~