Saturday 30 April 2011

Siapakah Yang Kuat????


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya) ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya
 engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata :"
Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah :"
Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,
kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. "
(Riwayat Muslim)


Pengajaran hadith:
i) Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya,
 ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; 
manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
ii) Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala 
usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia,
tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
iii) Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang
 angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa
sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh
manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
iv) Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat
 Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal
tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
v) Janganlah sekali-kali disebut perkataan 'kalau' jika mengalami kerugian atau kekecewaan
kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu
gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.


لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّ‌ۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
(Surah Al-Baqarah 2 : Ayat ke 256)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Wanita Pertama Menghuni Syurga~


Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah
wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan
cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga
beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga.
Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke
rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu.
Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu,
Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan
beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.
Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya.
Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.
Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan
Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.
Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya.
Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.
Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan
terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya.
Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu. Wallahu'alam


~Diadaptasi dari iluvislam~

Kembali Kepada Fitrah



Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud:
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah)
agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui"
(Surah ar-Rum: Ayat 30).

Erti Kembali Kepada Fitrah
Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang
dari Nabi s.a.w. Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah  dalam seluruh kegiatan hidup
sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang:
"Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku,
hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam".
Kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi larangan-laranganNya
yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya.
Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.
Dengan kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya, kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.
Yang berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan,
kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.

Sifat-sifat Kembali Kepada Fitrah

Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud "Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah ..."
 (Surah al-Ahzab: Ayat 21).

Iaitu mengenali dan menghayati sifat sidik - ertinya benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, matlamat. Iaitu mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak melakukan dosa;
 dalam akhlak merujuk kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara:
berhubungan dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)
Amanah perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami bentangkan  AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya;
ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);
Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka
pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;
Dalam tafsir-tafsir "amanah" itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama;
seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan; Tabligh atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah - ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya. Tabligh boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat.
Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang
bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.
Sifat fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami
persoalan-persoalan yang dihadapi  dalam hendak mempertahankan kebenaran agama
sehingga kebenarannya boleh dipertahankan dengan berkesan, sampai kepada
perkara-perkara lain yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.
Ertinya manusia Muslim mesti mempunyai "fatanah" dalam hubungan dengan ajaran untuk menjayakan kedudukannya sebagai "khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya" dalam semua urusan hidupnya,
termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
(Surah Ar-Rum 30 : Ayat ke 30)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Peliharalah Dirimu....



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
Saya ada terbaca..

"3 perkara yang boleh menghancurkan umat yang paling kuat adalah zalimnya pemimpin, berpecahnya rakyat, rosaknya wanita." 
[Mustafa As Sibaei]

Hmm.. Membuat diri ini berfikir dan berfikir lagi. Benar. Begitu sekali pengaruh wanita terhadap masyarakat dunia. Merekalah yang mampu menjadi agen perubah (kebaikan maupun kehancuran)
yang dapat memberi impak besar terhadap masyarakat.
Kata-kata di atas hakikatnya bukan sekadar teori, namun telah dibuktikan jua pada alam realiti.
Bak kata pepatah Inggeris pula, "Behind every great man, there is a great woman."
Jarang sekali seorang pemuda yang berjaya, baik dalam sahsiah dan akademiknya, melainkan
di belakangnya seorang ibu yang penyayang, yang sentiasa memberi didikan dan sokongan.
Jarang sekali seorang tokoh masyarakat yang hebat, baik dalam apa-apa lapangan,
melainkan di sisinya ada seorang isteri yang sentiasa memberi kekuatan dan inspirasi.
Ya, jarang sekali.
Kerana dalam kebiasaan, seorang lelaki dapat mejadi hebat dan sentiasa terdorong untuk mencapai cita-citanya, atas motivasi dan sumber kekuatan yang diperoleh dari seorang wanita,
yang tidak jemu memberi sokongan kepadanya, dalam suka maupun duka.
Merekalah yang menjadi isteri, yakni sayap-sayap kiri
bagi pemimpin-pemimpin harapan pada hari ini.
Mereka jualah ibu, sekaligus merupakan pendidik pertama dan utama
kepada generasi umat masa hadapan.
Maka sungguh saya katakan pengaruh wanita amat besar terhadap dunia.
Oleh itu, sajak ini tercipta. Saya dedicate sajak ini kepada,
kakak saya dan juga saudara-saudara perempuan seIslam semua..
Dan kepada ibu, thanks for everything.. Can never repay you.
Moga-moga mesej yang disampaikan dapat mencetus aspirasi kepada semua. Amin.

Pelihara Dirimu
Pelihara dirimu,
Wahai mawar berduri.
Dirimu suci,
Seindah perhiasan diberi.
Jangan pula kau cemari diri,
Dek hitam debu duniawi.
Datangnya Islam mengangkat martabatmu,
Terciptanya syariat demi memelihara dirimu,
Sayangi dirimu,
Dan ketahuilah, Allah jua amat kasih padamu.
Oh mawar berduri,
Pelihara peribadi,
Hargai maruah diri,
Dan dirimu akan menjadi penyeri,
Keindahanmu mampu mengatasi segala perhiasan duniawi.
Jangan sesekali kau goncang iman sang lelaki dengan lirik manjamu,
Sebaliknya, kau goncanglah dunia dengan keteguhan imanmu!
*****

Sumber Rujukan/Ilham:

1. Hanyasanya engkau, wanita solehah;
"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
[HR. Muslim]

2. Pelihara Maruahmu;
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, ... "
[Surah An-Nur (24): 31]

Jumhur ulamak berpendapat (berdasarkan hadis-hadis) bahawa yang
'biasa tampak darinya' dimaksudkan dengan muka dan telapak tangan.

3. Tabarruj? Engkau tidak perlukannya...
"... janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah..."
[Surah Al-Ahzab: 33]

4. Contohi mereka, tidak perlu kau lunak-lunakkan suaramu;
"Wahai istri-istri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, 
jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga
berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik."
[Surah Al-Ahzab (33): 32]

5. Jangan jadi fitnah bagi kami!
"Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita"
[HR. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah]

Wahai muslimah, pelihara dirimu jua ketika berada di alam maya  
(jangan terlalu mesra dengan bukan mahram..).

'Dunia tanpa batasan' katanya? Sedangkan batas-batas pergaulan dalam Islam itu perlu sentiasa dijaga.
** Kalaulah para muslimah solehah itu tahu, betapa diri mereka 
mampu menggoncang hebat iman sang lelaki...

~Diadaptasi dari iluvislam~