Monday 25 April 2011

~Amal Untuk Meraih Cinta ALLAH SWT~


Ku cinta Dia. Kita mencintai Allah SWT. Adakah sekadar kata-kata cukup sebagai bukti?
" Tidak, cinta kepada-Nya tidak terbukti hanya melalui kata-kata. "

Hasan Al-Basri rahimahullah berkata:
Para sahabat Nabi SAW berkata:  
" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami amat mencintai Allah SWT. " 
Kemudian Allah SWT mahu menjadikan tanda yang menunjukkan kecintaan kepada-Nya.

Dengan itu Allah SWT menurunkan ayat berikut:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): 
"Jika benar kamu mencintai Allah SWT maka ikutilah aku. Nescaya Allah SWT mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Ali 'Imran: 31)

Dari Abu Hurairah RA katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Sesungguhnya Allah SWT berfirman:
" Barangsiapa memusuhi kekasih-Ku, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa dia akan Aku perangi. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang amat Aku cintai lebih daripada apabila dia melakukan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan diri kepada-Ku dan melakukan perkara sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya  yang dia gunakan untuk berjalan. Andaikata dia meminta sesuatu kepada-Ku pastilah Aku beri, dan andaikata dia memohon perlindungan kepada-Ku pastilah Aku lindungi. "
(Riwayat Bukhari)

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata :
" Amalan yang paling afdhal ialah melaksanakan amalan yang difardhukan oleh Allah SWT, menjauhi perkara yang diharamkan-Nya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah SWT semata-mata. "

Al-Quran
Di antara perkara sunat utama yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah membaca Al-Quran dan mendengarnya dengan penuh tafakkur, tadabbur serta memahaminya.

Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhankamu, dan penawar bagi penyakit dalam dada kamu, dan hidayah petunjuk (untuk keselamatan), serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
( Surah Yunus: 57)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Bacalah Al-Quran kerana ia akan memberi syafaat(pertolongan) kepada sesiapa yang membacanya pada hari akhirat kelak. "

Bukti DicintaiNya
Apabila seorang hamba dicintai oleh Allah SWT, maka ada buktinya dan ada tandanya.
Telinganya, hanya mendengar sesuatu yang berupa ketaatan kepada Allah SWT, 
tidak atas dorongan hawa nafsu dan syaitan.
Pandangan matanya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah SWT, 
 jauh daripada dorongan kebinasaan hawa nafsu dan syaitan.
Tangan kaki dan pergerakannya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah SWT, 
bukan kemaksiatan kepadaNya.
"Kita muhasabah diri. Adakah terdapat pada diriku bukti-bukti itu? Adakah aku dicintaiNya?"
Asy-Syaukaani berpendapat :
" Allah SWT memberi kepada anggota-anggota tersebut nur-Nya (cahaya) yang menyuluh jalan hidayah dan menghindarkannya daripada kesesatan. "

Siapa Bertakhta Di Hati ?

Firman Allah SWT :
قُلْ إِنْ كَانَ أبَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah: " Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusan-Nya ". Dan Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. "
(At-Taubah: 24)   

Kecintaan kepada Allah SWT pasti membuahkan cinta kepada teman hidup dan keluarga. 
Cinta insani itu adalah buah daripada cinta kepada Allah SWT. Kecintaan kepada teman hidup
dan keluarga perlu didasari dengan cinta kepada Allah SWT.
Kebahagiaan bergantung kepada sesuatu yang menjadi neraca nilai.
Andai syara' diambil sebagai neraca nilai, kebahagiaan anugerah Allah SWT pasti bersama. 
Kebaikan adalah apa yang syara' tetapkan sebagai baik. 
Keburukan adalah apa yang syara' tetapkan sebagai buruk. 
Kehidupan dan interaksi indah dihiasi dengan nilai Islam.
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta. 
Allah Al-Khaliq. 
Harta adalah ujian. Andai dimanfaatkan ke jalan Islam, 
Insyaallah ianya adalah amal yang akan menghadirkan cinta Allah SWT. 
Jika yang sebaliknya berlaku, 
pasti mengundang kemurkaan dan azab-Nya.

~DIADAPTASI DARI ILUVISLAM~
 
Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? 
Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya 
dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?
Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another.  
Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.
"Merosakkan?"
Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. 
Pelindungkah?
Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut 
gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing 
menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu 
yang halal kepadanya.
Pelindungkah?

Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?
Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!
Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya.  

Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.
Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak
tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah
kepada status tersebut!

Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. 
Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!
Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...
Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya 
sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu 
dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?
Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan 
dunia ini dengan husnul khatimah
Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? 
Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?
Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, 
sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap 
Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. 
Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman:
(Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: 
(Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): 
Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)
Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan
Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. 
Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. 
Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' 
melainkan KEROSAKAN sahaja.
Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.

Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. 
Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, 
kerana hati tidak pernah menipu.
Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya 
"Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"
Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

Glosari
1. Ar-rijal: Lelaki, pemuda.
2. Husnul khatimah: Pengakhiran yang baik.

~Diadaptasi dari iluvislam~

Dari Kekasih Buat Kekasih....

 
"Dahulukan mengucap salam, ucapkan selamat dengan senyuman, tumpukan perhatian anda 
kepada mereka agar anda menjadi orang yang sangat mereka cintai dan dekat dengan mereka."

Kekasihku,
Hari ini aku mengadu pada sang KEKASIH, pencipta kau dan aku. Aku ingin menjadi kekasihmu yang patuh pada sang KEKASIH. Aku mohon pada sang KEKASIH agar ditautkan hatiku dan hatimu agar kita bisa jadi sepasang kekasih yang diredhai sang KEKASIH.

Kekasihku sayang,
Aku ingin menjadi sandaran hatimu. Menenangkan tatkala kau kecewa atau terluka tapi aku tidak 
mahu kau lupa pada sang KEKASIH kerana aku terlalu kasih pada sang KEKASIH. 
Aku mahu kau menjadi kekasihku yang hebat tanpa melupakan sang KEKASIH.

Wahai kekasihku,
Aku kekasihmu yang akan berdoa saban waktu agar sang KEKASIH memudahkan perjalanan 
hidupku dan hidupmu. Aku kekasihmu tapi aku tak mampu membahagiakanmu setiap waktu, 
lalu aku mohon pada sang KEKASIH agar kekasihku bahagia dan dilimpahi cinta sang KEKASIH.

Kekasihku,
Aku tidak mahu kau jadi kekasih yang lemah. Janganlah kita tunduk pada hawa nafsu. 
Aku mahu jadi kekasih yang bernilai di mata kekasihku agar diredhai sang KEKASIH. 
Aku menyayangimu duhai kekasihku!

Wahai Kekasih,
Aku kekasihmu yang terlalu daif. Apa yang ada padaku adalah hak milik sang KEKASIH.
Aku ingin jadi kekasihmu yang tahu erti syukur dan aku juga mahu kekasihku selalu bersyukur.
Cinta kerana Allah adalah cinta yang aku cari, kerana cinta kerana-Nya adalah CINTA yang diredhai dan
jika cinta tanpa redha ibu bapaku, maka tiadalah redha Ilahi dan aku rela untuk memutuskan hubungan cintaku andai mereka tidak redha dengan cintaku kerana aku perlukan cinta yang diredhai kerana 
kekasihku lah yang bakal bertakhta dihatiku dan menemaniku hingga ke hujung nyawaku.

~Diadaptasi dari iluvislam~

Apa hebatnya Solat Di awal Waktu??

 
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini
yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi
merekayang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang
bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan
komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali,
lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam
keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) -
dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.
Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian
warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang
berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.
Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya
akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.
Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana
spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis
yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti.
Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau
di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).
Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap
dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.
Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini
bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini
(solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan,
pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.
Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana
frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.
Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.
Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.
Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.
Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.
Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t
tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya
atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai
dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya. 
Wallahualam.


 ~Diadaptasi dari iluvislam~

~Berbohong Dan Menghampiri Zina~

 
Rasulullah S.A.W telah melarang lelaki dan wanita yang bukan mahram (dihalalkan nikah antara keduanya) daripada berkhalwat (berdua-duaan di tempat yang boleh dikategorikan sebagai terhindar daripada 
halangan untuk melakukan maksiat yang berlaku antara lelaki dan wanita). 
Larangan yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W  dalam hadithnya ini yang menggunakan lafaz 
nahi (tegahan) membawa maksud pengharaman perbuatan berdua-duaan yang dimaksudkan tersebut. 

Berikut merupakan hadith-hadith yang menggambarkan pengharaman tersebut:
1.Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bermaksud: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat makan janganlah berkhalwat dengan wanita yang tidak ditemani oleh muhramnya (lelaki yang haram dinikahinya).
2.Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari: Janganlah sesiapa dikalangan kamu (lelaki) berkhalwat dengan wanita yang bukan muhram antara keduanya melainkan sekiranya wanita tersebut 
ditemani oleh mahramnya.

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 32)
 

Arahan untuk tidak membenarkan lelaki dan wanita daripada berdua-duaan dalam erti kata khalwat di atas bukanlah kerana buruk sangka terhadap kedua-dua mereka tetapi ia bertujuan untuk memelihara mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang termasuk dalam larangan-larangan Allah yang lebih berat seperti bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan malahan sehingga ke peringkat zina.
Ini adalah disebabkan ketika mereka berdua-duaan, syaitan akan menjadi orang tengah yang bertanggungjawab untuk membisikkan tindakan-tindakan maksiat seterusnya yang perlu dilakukan oleh mereka berdua sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadithnya yang bermaksud: Jauhilah kamu daripada berkhalwat dengan wanita (yang bukan muhram kamu). 
Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya, tidaklah seseorang lelaki berkhalwat 
dengan seorang wanita melainkan syaitan akan mendatangi mereka berdua. 
Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya:
“Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, 
melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Wanita adalah dilarang berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana 
berkhalwat tidak semestinya berlaku di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat dan sebagainya.
Perlu diingat syaitan merupakan makhluk yang bijak (menghasut). 
Selagi ada kesempatan yang terluang,ia akan menggoda manusia untuk melakukan 
perbuatan yang terkutuk.Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada.
Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan 
khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.

Apabila kamu berdua-duaan, kamu telah melanggari Perjanjian dengan Allah Swt. 
Apabila ditanya oleh ibubapamu, kamu berpotensi untuk berbohong.

~Diadaptasi dari iluvislam~

Berdoalah Terus Kepada ALLAH SWT


Daripada Abdullah ibn Abbas ra, bahawa Rasulullah pernah berdoa:
"Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati (Muttafiqun alaih)".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang 'broker' dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya!
Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah.

Firman Allah: (maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)
Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).
Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali 'songo' atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini.
Daripada Ibn 'Abbas:
"Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki." Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil 'tok keramat' lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.
Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa.
Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja.
Saya kata kepada mereka:
Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak?
Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.
Sumber Text: Dr.Maza

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُ‌ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ فِى مَا هُمۡ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

ngatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)
(Surah Az-Zumar 39:  Ayat ke 3)
~Diadaptasi dari iluvislam~

Menikmati Rasa Memberi

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka. (Hadis Riwayat Muslim)

Memberi Contoh
Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan
contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu
menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya.
Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.
Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat,
bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita
sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan
seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosayang sama seperti orang yang melakukannya.
Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan
akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Memberi Salam
Daripada Anas r.a. bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi s.a.w. berbuat demikian. 
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sunat memberi salam kepada sesama muslim tidak mengira darjat, pangkat dan peringkat manakala menjawab salam adalah wajib. Memberi penghormatan kepada orang yang lebih rendah martabat dan pangkat tidak akan mengurangkan kemuliaan seseorang. Umat Islam hendaklah sama-sama hormat menghormati antara satu sama lain dan mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dengan memberi salam apabila bertemu walaupun terhadap kanak-kanak.

Memberi Ilmu
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda)
dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam.Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan.Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

Kebahagiaan Memberi
Dari Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, baginda telah bersabda yang maksudnya: "Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga". (at-Tirmidzi)

Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai.Ketika orang lain memberikan sesuatu pada kita, maka terimalah dengan hati yang ikhlas diiringi dengan senyuman dan ungkapkanlah kegembiraan hati kita kepadanya dengan ucapan terima kasih yang sebenarnya sangat bererti bagi orang yang memberi. Pemberian memerlukan penerimaan, pemberian yang tulus juga memerlukan penerimaan yang tulus. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W, bahawa tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka memberi adalah lebih baik daripada menerima.Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Namun begitu apabila tibanya suatu saat di mana tibanya masa untuk diri kita menerima, maka terimalah juga dengan suatu ketulusan, jangan merasa rendah diri, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya atau dalam erti kata lain "saat kita menerima sesuatu kita sesungguhnya sedang belajar untuk memberi sesuatu".

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُواْ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاء والضَّرَّاء وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَـئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakw
(Surah Al-Baqarah, 2: Ayat Ke 117)

~diadaptasi dari iluvislam~
~semoga kita dapat berkongsi pengetahuan ttg sesuatu yg baru~