Saturday 23 April 2011

HaRgA SeTuAnG CiNtA

Tenggelam relung dadaku dalam syahdu,
Titis mutiara jatuh berderai derai,
Mengukur layakkah diri menerima nikmat cinta sejati darimu Ya tuhanku,
Dengarlah bisikan doaku dalam sujud sembah pada-Mu...

Aku yang menghitung luka-luka parah,
Menyelar tiap ketenangan pada angin lalu,
Aku yang mengadu domba pada alam,
Menyaksikan sang bulan memuntahkan darah merah...

Tempiasnya mengukir parut-parut duka,
Kebeningan malam mencucuk sanubari,
Dalam dakapan rindu aku tersungkur jatuh tersembam,
Meraba raba mencari erti sebuah kasih sayang...

Apakah ini harga yang harus kubayar untuk setuang cinta dari-Mu Tuhanku?
Kehibaan aku merangkak menjilat noda yang menjerat jiwa,
Pada parah yang mencengkam hati nan luluh,
Dalam menghidang cinta buat penciptaku...

 Artikel iluvislam.com

Jangan Sombong dengan Takdir!! ALLAH MAHA BESAR!!

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah.
Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri.
Saya bukan insan serba baik dan sempurna.
Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.
Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...

Jangan Sombong Dengan Takdir
Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.
Iblis
Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior'
dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah,
sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar,
qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan,
kita akan terhina... seperti terhina iblis.
Dilaknat dan dimasukkan ke neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!

Takdir Dan Iman Kita
Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini?
Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat?
Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?
Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.
Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.
Katakan,  "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."

Takdir Mengatasi Tadbir
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi.
Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.
Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa.
Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...
Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.
Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita.
Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan
Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah
yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)
 dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan
dan bala yang menimpa dirinya.
Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir.
Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat.
Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah  bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Apa Khabar Iman Anda?
Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Bersangka Baik Dengan Allah
Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan... itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah.
Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia,
seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.
Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka
pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang
kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan  maksiat dengan mudah.
Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin
Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah.
(Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia).
Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.
Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama.
Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik.
Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu." (Surah Al-Baqarah : 216)

Nikmat Allah
Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya.
Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya?
Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya."
Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu,
kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:
"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!"

- Artikel iluvislam.com

wahai sahabat..Janganlah BERSEDIH !!

Kepada semua sahabat-sahabat yang sedang diuji, yang telah diuji & yang belum diuji..
sedarilah bahawa jika anda tidak hidup hanya dalam batasan hari ini saja,
maka akan celaru fikiran Anda, akan kacau semua urusan,
dan akan semakin menggunung kesedihan dan kegundahan diri Anda.


01.Jangan Bersedih... Cinta Allah dan Rasulullah menjamin kebahagiaan.
02.Jangan Bersedih... Redha Dengan anugerah Allah membuat anda kaya di dunia.
03.Jangan Bersedih... Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmatnya yang Maha Luas.
04.Jangan Bersedih... Semata-mata disebabkan anda berbeza dengan orang lain
kerana setiap kejadian Allah itu ada kelebihan tersendiri.
05.Jangan Bersedih... Bila disakiti, dicela, direndahkan atau dizalimi kerana setiap
perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha Esa.
06.Jangan Bersedih... Sesungguhnya setelah kesusahan akan ada kemudahan.
07.Jangan Bersedih... Kerana kesedihan anda akan membuat musuh anda gembira.
08.Jangan Bersedih... Atas perilaku manusia terhadapmu tetapi perhatikanlah perilaku mereka terhadap Allah.
09.Jangan Bersedih... Allah tidak akan mensia-siakan pengorbananmu dan setiap perkara
yang baik mahupun buruk ada hikmahnya.

Wahai sahabat-sahabat, janganlah bersedih, dunia ini terlalu hina untuk ditangisi.

 Artikel iluvislam.com

Air Terjun Yang Indah


Pernah pergi tempat air terjun? Katakanlah, satu hari ni, kita teringin nak pergi tengok air terjun. Kawan-kawan kita kata ada satu air terjun ni sangat best! Harus pergi sana! Jadi kita pun excited nak pergi.
Rancang punya rancang, dengan membuat pelbagai persiapan yang sangat teliti, daripada masa perjalanan ke sana, aktiviti yang nak dilakukan di sana, berapa ramai yang nak pergi,dan macam-macam lagi.
Orang kata, memang bersungguh habislah!

Akhirnya, tibalah hari untuk pergi ke air terjun tersebut.
Biasalah, nak pergi tempat yang belum tercemar dengan pembangunan ni, perjalanan dia mesti agak 'bumpy' dengan jalan yang tak licin, ditambah lagi dengan sakit kepala naik 'angkut' (baca:van kecil yang tempat duduknya menghadap ke sisi jalan) adui, rasa menyesal pulak tiba-tiba.
Tapi, sebab kita yakin dah dengan kata-kata kawan-kawan kita tadi, bahawa air terjun tu tersangatlah best. Lebih kurang gitu la kan...punya, kita kuatkan semangat.
Walaupun terpaksa mengharung badai dan ombak, demimu air terjun aku sanggup meredahnya!
Lepas tu, tengah kita sakit perut, pening nak muntah, dengan jalan yang tak best tu,
tiba-tiba telinga kita dapat menangkap sesuatu.
Bunyi air terjun!!
Daripada jauh kita dapat dengar. Lepas tu semangat kita pun naik...
Tak lama lepas tu kita dah boleh nampak sungai kecil dengan air yang sangat jernih.
Dalam hati dah terfikir, 'air terjun tu nanti mesti lagi cantik airnya'
Setelah hampir dua jam mengharungi ombak dan badai, maka sampailah kita kepada kawasan air
terjun yang dijanjikan tadi. Subhanallah, memang sangat cantik dan mendamaikan.
Maka hati kita pun dah berbunga-bunga dan gembira bahagia, tak menipu kawan-kawan kita rupanya.


Air Terjun Yang Indah

Cerita di atas merupakan kisah yang benar, namun boleh dijadikan sebagai sebuah analogi.
Suatu persoalan, kenapa kita boleh percaya yang ada air terjun kat depan?
Pertama, sebab kita dah buat banyak persiapan untuk ke sana.
Jadi sudah tentu kita tahu ke mana arah tuju kita.
Kedua, kerana ada banyak 'tanda' yang kita lihat dan dengar.
  • Daripada bunyi air terjun yang boleh didengari daripada jauh,
  • anak sungai yang kita lihat jernih airnya,
  • kata-kata sahabat kita, kerana kita yakin yang dia tidak akan menipu kita.
Jadi, walaupun banyak cabaran dan badai di hadapan,
disebabkan Yakin itu, kita mengharunginya dengan tabah dan gagah.
* Cuba gantikan air terjun itu dengan akhirat dan segala janji-janji Allah.
Ia sesuatu yang pasti, dan tanda-tandanya sudah banyak ditunjukkan oleh Allah bagi insan yang mahu berfikir.
Kata-kata 'kawan' kita itu pula dengan kata-kata Muhammad bin Abdullah, Sang Al-Amin,
yang tidak pernah menipu, segala kata-katanya, sama ada menerusi kalam AllahAl-Quran atau Hadith.
Pernahkah Rasulullah saw menipu? Jawapannya, kita semua tahu.
Tanda-tanda yang disebutkan sebagai semua tanda-tanda kebesaran dan keesaan Allah, samada dalam Al-Quran dan Hadith, atau melalui segala ciptaanNya di bumi. Segala keindahan alam,
semuanya tanda kebesaranNya.
Segala kesusahan dalam perjalanan tadi pula, segala ujian (sama ada baik atau buruk)
yang menimpa kita semasa di dunia.
Air terjun tu pula, dianalogikan sebagai syurga yang dijanjikan oleh Allah sangat indah dan tak mampu dibayangkan dek akal manusia yang pendek dan terbatas.
Jika dengan air terjun sahaja kita sudah kagum, apatah lagi syurga kan kawan-kawan?
Perjalanan kita ke sana pula, sebagai perjalanan kita untuk ke akhirat kelak.
Pendek kata, kehidupan kita di bumi lah. Bukankah kita semua adalah pengembara?
Pengembara menuju kehidupan yang kekal abadi? Kehidupan kat dunia ni,
tersangatlah pendek jika dibandingkan dengan akhirat kelak.
Tak berbaloi rasanya hidup berseronok di dunia, di akhirat merana. Oh tidak! Nauzubillah...
Akhir sekali, bukankah kita sanggup menghadapi segala kesusahan untuk ke air terjun tadi kerana kita YAKIN? Maka tukarkanlah perkataan yakin itu kepada IMAN kita dan
terjemahkanlah ia dalam kehidupan kita.
Sebelum melakukan apa-apa, fikirkan dulu, apa natijahnya buat diriku di Sana nanti?
Baikkah? Atau burukkah?
Keyakinan kita pada Allah, pada segala apa yang dijanjikannya, menjadi neraca yang cukup berharga.
Ia tidak dapat diwarisi daripada bapa atau ibu yang soleh, ia perlu dicari dan ditanam oleh diri sendiri.
Diperkukuhkan dengan ilmu dan amal hanya kerana Allah swt satu-satunya Zat yang layak untuk diibadahi. Dengan bimbingan dan pedoman daripada Rasulullah saw, contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.
"Begin with the end in mind", kata Stephen Covey.
Bagaimana kita mahu pengakhiran kita kelak, itulah yang akan mencorakkan
seluruh kehidupan kita,Insya-Allah.
Kehidupan ini bukanlah mudah, banyak cabaran dan dugaan, terutama sekali di akhir zaman ini,
dengan fitnah Dajjal sedang berleluasa, semoga kita terlindung daripadanya, Amin.
Namun, keindahan dan kecantikan syurga yang menjadi motivasi kepada kita, untuk terus kukuh
dalam mentaatiNya, untuk terus kuat dalam menjauhi segala laranganNya, dengan izin Allah swt.
Iman, itu neracanya. Syurga, itu motivasinya.
Ayuh, mari menjadi insan yang bijak!
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya
seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.
(Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit,
dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memafkan (kesalahan) orang.
Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan" - Surah Ali-Imran (3:133-134)
Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita,
moga berjumpa di syurga..amin...

Artikel iluvislam.com

Kehebatan SYURGA berdasarkan AL-QURAN..


Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang
yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum
pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir 
sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)
"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)
"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)
"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. 
Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), 
dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. 
Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)
"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam.
Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)
"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." 
(Surah Yasin; 57)
"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan 
dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." 
(Surah Fathir; 33)
"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)
Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. 
Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. 
Ampunkahlah dosa-dosa kami.


Artikel iluvislam.com

..MoGa MembUaH SABAR..


Sabar..satu perasaan, tindakan yang tidak dapat didefinasikan.
Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, 
tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan     
sabar dapat bertahandalam diri? Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.
Meminjam peribahasa "lain lubuk lain ikan" disamakan dengan "lain orang lain ujiannya".
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya.
Lupakah kita pada firmannya?

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala
(dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. 
(Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau
bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan
kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami;
dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - 
Surah Al-Baqarah, 286

Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu
yang kita tak mampu. Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.

Ujian Rasulullah

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian  yang menimpa baginda
sangat hebat.Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya,
datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, 
Siti Khadijah.Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi.
Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada
hari ini, bermacam-macam ujiannya.Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan,
dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan  yang baginda hadapi.
Tapi ujian itu tidak  pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.
Cuba kita renungkan kembali  di zaman baginda s.a.w dahulu  tiada handphone,
tiada facebook, tiada yahoo messenger dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada
pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat,
Islam sampai kepada kita hari ini dan kita mengenal Allah dan merasa indahnya iman.
Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa  baginda dapat menghadapi ujian-ujian
tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasulullah.
Mengapa pula begitu, baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan
ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.
Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan baginda.
Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman

Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa
ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita
hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita 
punyai pergantungan yang tinggi kepadaNYA.
Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah,
renungkanlah kembali.Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?
InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yag lain.
Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.
Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya macammana pula?
Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin  tanpa kita sedari ada hak-hak dengan
Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.
Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau
peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?
Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita
hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur.

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur.
InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.
Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap 
menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.
Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda  beribadah malam sehingga
kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang,
"Aku ingin jadi hamba yang bersyukur".
Salam mujahadah membuah sabar.

Artikel dari iluvislam.com