Monday 9 May 2011

Mengapa Masakan Ibu Paling Sedap???


Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan 'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu,
air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut' bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu?
Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang fizikal
dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'.
Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.
Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk 'memberi'
kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.
Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, 'air tangan' bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan.
Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar.
Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia.
Seorang yang paling kasihkan Allah,
dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.
Falsafah di sebalik 'air tangan' inilah saya kira dapat
merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:

"Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya."

~Diadaptasi dari iluvislam oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi~

Fitrah Setiap Kelahiran


Anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan berguna. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan tetapi bukti kekuasaan Allah. Anak anugerah Allah yang amat istimewa bagi suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Malah, setiap pasangan berkeluarga memang impikan anak untuk menyerikan institusi rumah tangga mereka. Itu sudah menjadi satu keinginan semula jadi yang Allah ciptakan dalam sudut hati setiap manusia.


Fitrah Yang Suci

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir walaupun anak itu adalah anak luar nikah. Ini kerana setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa. Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya. Perlu ditegaskan, kelahiran seorang anak yang diharap akan menyambung warisan kekeluargaan sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat sebagai bahan renungan untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.
Pertamanya, kelahiran anak sudah memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu melalui pelbagai peringkat yang berbeza di alam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.


Semua itu diceritakan Allah dalam firman-Nya:


لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya
 (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya."
- [Surah Al-Tin 95: Ayat ke 4]

Namun, di sebalik kesempurnaan sifat manusia sebenarnya daif dan kerdil kerana sentiasa bergantung
harap kepada Allah. Oleh sebab itulah, setiap insan diwajibnya beriman kepada
Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat di bawah keredaan Ilahi.
Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru,
lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau satu bebanan
yang tidak tertanggung. Sebaliknya, anak adalah ujian Allah kepada ibu bapa.


وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَآ أَمۡوَٲلُڪُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةٌ۬ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥۤ أَجۡرٌ عَظِيمٌ۬
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar."- [Surah Al-Anfal 8: Ayat ke 28]
 
Setiap ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengasuh anaknya. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini jumlah bayi dilahirkan akibat perzinaan terus meningkat dan lebih menyedihkan,
ada antara mereka dibuang dan didera sehingga menemui ajal.
Maka, tidak hairan Al-Sheikh Muhammad Qutb menganggap peristiwa berlaku
dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali kepada zaman jahiliah terdahulu
yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu.
Jadi tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dan membuang anak dengan niat membunuh kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.
Perlu diinsafi, mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam ibadah kerana setiap
ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan anaknya.
Lebih-lebih lagi anak itu umpama helaian kertas putih yang belum diwarnai dan dicorakkan lagi.


"Maka ibu bapalah yang akan mencorakkannya berdasarkan cita rasa masing-masing. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." - [Hadis riwayat Bukhari]
 
Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi
insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara.
Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya. 


Sebenarnya dalam Islam seorang anak adalah penawar kepada ibu bapanya terutama semasa tuanya. Jadi, ibu bapa tidak perlukan wang anak-anaknya apatah lagi kalau anak-anak mereka itu miskin. Tetapi yang diperlukan ialah kasih sayang dan belaian daripada anak-anak. Sesungguhnya anak yang membelanjakan wang pendapatannya untuk membeli ubatan dan makanan untuk ibu bapanya, sesuatu yang baik dan seharusnya dikekalkan, tetapi mereka juga perlu pulang untuk melihat wajah ibu bapa.
Tatapan wajah antara anak dan ibu bapa boleh mengurangkan sebahagian penderitaan rindu mereka.
Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai ibu bapa di kampung apatah lagi yang sakit, eloklah pulang melihat wajah mereka. Jika anak pernah terasa hati terhadap ibu bapa, lupakan dahulu dan kalau perlu maafkan mereka berdua. Sikap anak dalam keadaan itu akan menyembuhkan sakit yang dialami oleh kedua-duanya.
Menyedari keadaan ini, mana-mana anak yang tidak mendapat didikan yang betul sehingga mereka tersesat, harus kembali ke pangkal jalan. Tidak perlu salahkan ibu bapa, sebaliknya bertaubat kepada Allah. Kesedaran anak ini sekaligus dapat menginsafkan ibu bapa mereka.
Sebenarnya berdasarkan huraian di atas, maksud fitrah ialah agama Islam, yang
setiap anak-anak yang dilahirkan "rohnya" telah mengiktiraf Allah sebagai tuhannya.
Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati
amanah Allah itu. Sudah tentu dia akan mendidik anaknya mengikut panduan
Islam supaya keislaman anaknya sejak kecil itu tidak dirosakkan.




Aset Yang Sangat Bernilai Untuk Mendoakan Kita Setelah Mati


Anak-anak merupakan aset yang tidak ternilai sekaligus amanah kepada ibu bapa.
Kadangkala, gelap atau cerahnya masa depan anak-anak menjadi
ukuran kepada kejayaan sesebuah rumahtangga.
yang pastinya, setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Percayalah, anak-anak yang mendapat didikan sebegini
tidak akan menganggap ibu bapa sebagai aset yang penting.
Oleh sebab itu mereka boleh kirim wang untuk ibu bapa terutama semasa mereka sakit,
tetapi mereka tidak sanggup pulang melihat kedua-duanya di kampung.
Sungguhpun begitu, anak-anak tersebut tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak pernah diajar erti kasih sayang oleh ibu bapa. Tatkala anak-anak dibesarkan, ibu bapa tidak mendidik mereka supaya tahu menghormati perasaan orang lain, apatah lagi ibu bapanya.


Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa (bayi) kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
Surah Al-Hajj 22: Ayat Ke 5


~Diadaptasi dari iluvislam~

~Terima Kasih Ibu~


Ibu, kau permata hatiku
Kaulah yang selalu menemani diriku,
Tatkala gembira dan sedih mahupun suka duka,
Kaulah pengubat jiwa yang lara ini,
Ku selalu mendoakanmu ibu agar diberi rahmat Tuhan yang Esa.

Ibarat cahaya lilin yang terang,
Bagaikan bulan dan bintang menerangi malan yang indah,
Kau selalu memberi ketengang dalam diriku,
Marah engkau membuatkan aku sedar akan salah silapku,
Agar aku tidak ulangi buat kedua kalinya.

Di rumah kau memasak, membasuh, mengemas juga mencantikkan suasana,
Terima kasih ibu aku ucapkan,
Lalai dan lupaku kau selalu ingatkan,
Umpama guru mencurahkan ilmunya yang sentiasa mekar di hati ini,
Nasihatmu akan ku abadikan tak akan kulupa.

Berwawasan semangat yang kugambarkan dalam dirimu,
Membuatkan aku bangga miliki ibu sepertimu,
Bekerja dan mengajar anak bangsa didikanmu juga kau berikan padaku,
Aku bersyukur miliki ibu sepertimu,
Mengajar erti dewasa manusia dalam segala kekurangan.

Tidak mampu kubalas jasamu ibu,
Hanya Allah yang mampu membalas keringatmu  masa lalu, kini dan akan datang,
Kusimpulkan kata buatmu ibu "Aku sayang ibu",
"Terima Kasih Ibu".

Harapan diriku ingin gembirakan dirimu,
Berjaya dalam apa yang kumahukan dengan doa tulus darimu,

Ibu, kaulah jantung hatiku,
Merasa dunia milik Tuhan ini dengan pelbagai dugaan dan cabaran,
Kau ingatkan, ingatkan dan teruskan ingatkan,

Jasamu ibu akan kusemat dalam lubuk hatiku yang dalam,
Agar aku menjadi insan yang tabah sepertimu,
"Terima Kasih Ibu."

- Diadaptasi dari  Artikel iluvislam.com