Wednesday 20 April 2011

..Mengingati ALLAH SWT..

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya 
Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

Kelebihan Zikir Kepada Allah
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya 
Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada
sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah 
kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”  
Surah Al Insan, Ayat 25 & 26

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ
مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan 
diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu 
pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”  
Surah Al A’raaf, Ayat 205

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا
خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, 
duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang 
kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah 
engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, 
maka peliharalah kami dari azab neraka.” Surah Al Imran Ayat 191
لِذِكْرِي إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, 
sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku..”  
Surah Taha Ayat 14.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ
يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan 
Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan 
banyak mengingati Allah” Surah Al Ahzaab Ayat 21

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh 
Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: 
Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. 
Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu 
dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. 
Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya 
di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia 
mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya
dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku 
akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu 
dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya 
seperti berlari-lari anak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: 
Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati 
lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang
diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. 
Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka
dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti 
majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap 
mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis 
zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut
beredar, para malikat naik ke langit.

..cInTa KePaDA ALLAH SWT & RASUL..


Mahabbah dalam ertikata yang sebenarnya ialah kasih dan sayang di antara satu dengan lain semata-mata kerana Allah swt. Ini adalah sepertimana firman Allah swt dalam hadis Qudsi yang bermaksud:-

“Mahabbah itu wajib bagi mereka yang berkasih sayang di antara satu dengan lain keranaKu,

pada jalanKu, dan orang yang menziarahi pada jalanKu dan mereka yang berkorban keranaKu,

maka mereka-mereka inilah yang Aku kasih.”

Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah saw pernah bersabda: “Ada di kalangan hamba, mereka ini bukan Nabi-Nabi, bukan pula golongan mati syahid, tetapi mereka ini disukai oleh para syuhada dan Nabi-Nabi. Mereka ini tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Lantaran itu di kalangan sahabat-sahabat ada yang bertanya:
“Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?
Maka jawab Rasulullah:-

“Mereka itu satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah swt. Mereka melaksanakan perintah Allah swt. Mereka itu tidak ada sangkutan adik-beradik atau saudara mara. Dan bukan pula kerana harta, mereka berkasih sayang.”

Jadi dari riwayat di atas, dapatlah kita fahamkan tentang betapa pentingnya kita berkasih sayang di antara satu dengan lain tidak kerana yang lain tetapi adalah kerana Allah swt semata-mata. Inilah apa yang dikatakan kasih sayang yang hakiki yang merupakan ciri yang penting bagi membentuk masyarakat Islam.

Di sini ada diceritakan tentang kisah seorang wanita yang hidup di zaman Saidina Ali r.a. Masyhur wanita ini adalah kerana kasihnya kepada Saidina Ali sebab beliau adalah seorang yang beriman kepada Allah swt dan tidak pernah tamakkan harta dan sebagainya. Manakala Saidina Ali telah meninggal dunia, wanita itupun dipanggil oleh Muawiyah yang telah menggantikan Saidina Ali sebagai Khalifah ketika itu. Kata Muawiyah kepada wanita itu:-

“Sekiranya aku anugerahkan kepada engkau segala apa yang engkau mahu, dapatkah engkau kasihkan aku sebagaimana engkau kasihkan Ali?

Maka wanita itupun meminta seratus ekor unta untuk dipergunakan pada jalan Allah. Kata Muawiyah:-

“ Adakah dapat engkau kasihkan aku jika aku berikan engkau seratus ekor unta tersebut. Maka jawab wanita itu, “Ali tidak dapat memberikan aku walaupun sehelai bulu untapun tetapi aku tetap kasihkan Ali.”

Ini menunjukkan bahawa kasih kerana Allah itu tidak dapat ditukarganti dengan harta kekayaan. Sesungguhnya orang yang kasih dan cinta kepada Allah, muka mereka akan bersinar dan bercahaya. Jadi sekiranya seseorang itu tidak kasih kepada Allah dan RasulNya maka walaupun kita mempunyai pertalian darah sekalipun kita tidak akan melahirkan kasih sayang terhadapnya walaupun mereka itu keluarga kita sendiri.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa sekiranya ada tiga sifat ini kepada seseorang barulah dia 


dikira sebagai seorang yang beriman:-

(1) Orang yang kasihkan Allah dan RasulNya lebih dari yang lain,
(2) Orang yang kasihkan saudaranya sepertimana dia kasihkan dirinya sendiri,
(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kufur sepertimana bencinya dicampak ke dalam api neraka.

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Tiadalah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terlebih dikasihi


Allah dari kedua mereka ialah orang yang terlebih kasih terhadap sahabatnya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas).

Rasulullah saw juga pernah bersabda dalam sebuah hadis lain bahawa satu dari tujuh orang yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat ketika matahari berhampiran dengan kepala di mana manusia tidak tertanggung menahan kepanasan ialah manusia yang bersaudara sehingga ia tidak berkumpul kecuali kerana Allah dan tidak berpisah kecuali kerana menunaikan tugas kerana Allah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:-

“Tujuh macam orang yang bakal dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan Allah; imam (pemimpin /ketua) yang adil, pemuda yag tetap taat beribadat kepada Allah swt, seorang yang hatinya selalu bergantung kepada masjid (iaitu memerhatikan waktu solat berjemaah di masjid), dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah baik ketika bertemu atau berpisah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan yang cantik tetapi ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dirahsiakan sehingga tidak diketahui oleh kiri apa yang dilakukan oleh kanannya, seseorang yang berzikir ingat kepada Allah bersendirian sehingga bercucuran airmatanya.”

(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).

Rasulullah saw menjelaskan maksud dua orang yang bersaudara kerana Allah itu dengan satu cerita:-
“Seorang pemuda pergi menziarahi saudaranya, lalu Allah menyuruh Malaikat menantinya di jalan.

Malaikat: Anda ke mana?
Pemuda: Aku hendak mengunjungi saudara si anu.
Malaikat: Apa hajatmu kepadanya?
Pemuda: Tak ada.
Malaikat: Apakah kerana hubungan kerabat dengan dia?
Pemuda: Juga tidak.
Malaikat: Kerana ada sesuatu pemberian kepadanya?
Pemuda: Tidak sekali-kali.
Malaikat: Mengapa engkau mengunjunginya?
Pemuda: Aku mengasihinya kerana Allah.

Kemudian Malaikat menjelaskan , sebenarnya Allah mengutusku untuk menyampaikan kepadamu bahawa Allah kasih kepadamu disebabkan anda kasih kepadanya dan kamu berhak memiliki syurga.”
(Riwayat Muslim dan Abu Hurairah).

Satu lagi contoh yang disebutkan oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam. Setelah tamat perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada’ yang bergelimpangan untuk mempastikan samada hidup atau mati. Abu Jahm bin Huzaifah r.a. meriwayatkan: “Semasa peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi mencari suadara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pertempuran itu. Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya. Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalam pertempuran yang hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberikan pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku mendengar rintihan seorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku memandang keadaan demikian lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Akupun pergilah kepada askar itu dengan membawa air tersebut bersama-samaku. Aku dapati dia ialah Hisham bin Abilah. Sebelum sempat aku sampai di sisinya , terdengar pula teriakan dari seorang yang terbaring tidak jauh dari tempat dia berada itu, Hisham juga telah mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu kepada orang yang berteriak itu. Akhir sekali sebelum sempat aku dapat menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisham, juga didapati beliau sudah meninggal dunia. Ketika itu juga dengan cepatnya aku pergi ke tempat saudara sepupuku berada, tetapi dia juga telah mengikuti kedua-dua mereka itu.”