Tuesday 10 May 2011

Cara Mengatasi Marah Dalam Islam



Marah adalah satu emosi yang terdapat di dalam diri semua manusia termasuk Nabi-Nabi dahulu. 
Sifat marah ini kadang-kadang dapat mengubah diri kita menjadi seseorang yang kita sendiri pun tidak suka.

Adakah anda tahu bahawa Nabi SAW tidak pernah menengking atau memaki umat-umatnya? 
Ini adalah kerana dia menghilangkan marahnya dengan sifatnya yang sabar dan tawakal.
Di bawah adalah cara untuk menghilangkan sifat marah jika terjadi pada diri kita.

1 - Ubah Posisi Kedudukan Anda

Rasulullah SAW bersabda: 
"Apabila salah seorang antara kamu marah,dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri,
maka hendaklah ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya dan kalau tidak, 
maka hendaklah ia berbaring."
(Riwayat Muslim)

2 - Berwuduk

Rasulullah SAW bersabda: 
"Marah itu datangnya daripada syaitan, 
dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. 
Oleh itu, apabila salah seorang antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk." 
(Hadis Riwayat Abi Daud)

3 - Minum air.
4 - Mendiamkan diri ketika marah.
5 - Berlindung kepada Allah daripada syaitan.
6 - Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan, masa dan tempat sesuai.
7 - Sentiasa Berfikiran positif.
8 - Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.
9 - Bawa bertenang seperti menarik nafas.
10 - Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan. 
 
~Dipetik dari blog Mr.Azam untuk renungan dan pedoman bersama. 
Sama-sama kita baca dan jadikan amalan harian kita bersama. Insya-Allah.~
 
~Senyumlah selalu~

~Cara Solat Sunat Taubat~


ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.”
(At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya:
Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah.
Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi,
iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan.
Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman,
ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya,
maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok,
dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah
jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur.
Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia.
Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai.
Hari terputusnya segala nikmat.
Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri,
dapat mengalirkan air mata kesedihan,
apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.”
(Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk
dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. 
  • Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),

    027alquran3.gif
    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa 
dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat



15 Cara Untuk Mengembangkan Rasa dan Sifat Sabar


1. Jangan terlalu memikirkan mengenai masalah, sakit kepala dan kesakitan 
serta mengharapkan simpati dan perhatian daripada orang lain.
.
2. Terimalah hakikat bahawa lebih banyak perhatian yang anda berikan kepada perkara-perkara 
    ini lebih teruklah keadaan anda nanti. Semua perkara akan menjadi kelam kabut dan hati anda 
    terluka dan  berasa tidak sabar kerana orang lain tidak ambil peduli.
.
3. Jangan fikir anda harus menunjuk kepada orang lain bahawa anda berada dalam keadaan yang betul 
    dan dapat memenangi hati mereka dalam setiap perkara yang anda lakukan.
4. Terimalah hakikat betapa sukarnya untuk menyenangkan hati setiap orang pada setiap masa
    Pastikan bahawa anda bersikap adil dan wajar dan biarkan masa menentukannya.
5. Jangan fikir anda mengetahui benar apa yang terbaik untuk orang lain.
6. Terimalah hakikat sementara anda boleh terus cuba memujuk, tetapi akan menimbulkan 
kesusahan untuk mengharapkan mereka melakukan apa yang anda hendakkan. Ini tentunya 
   mencetuskan ketidaksabaran ke atas kedua-dua pihak.
7. Jangan memikirkan bahawa kerana terdapat mereka yang tidak bersetuju 
dengan anda, mereka bersifat tidak wajar terhadap anda.
8. Terimalah hakikat bahawa manusia berhak kepada pandangan yang dikemukakan. 
   Anda mengharapkan mereka membenarkan anda mendapat hak yang sama itu.
9. Jangan fikirkan mengenai semua perkara buruk yang akan berlaku ke atas diri anda.
10. Terimalah keadaan bahawa setiap orang mempunyai masa rehatnya. 
Cuba lihat di luar daripada diri anda.
11. Bersimpati terhadap orang lain akan membantu anda bersifat lebih sabar.
12. Jangan fikirkan bahawa sifat yang tidak menentu itu (moodiness)
dalam diri seseorang adalah terlalu penting.
13. Terimalah hakikat kadangkala diri kita yang baik inipun boleh mengalami sifat berubah-ubah atau
     tidak menentu itu. Hadapilah dengan tenang dan cubalah kawal sifat berubah-rubah diri anda itu.
14. Jangan fikir bahawa cita-clta dan apa yang anda kehendaki adalah terlalu penting.
15. Terimalah hakikat bahawa wujudnya kesulitan jika terlalu mengharapkan sesuatu perkara dalam 
      hidup, terhadap diri anda dan orang lain. Jika anda terlalu berharap, kedukaan dan kekecewaan 
     akan menjadikan anda sedih dan berkelakuan hilang sabar.


Senyuman Hari ini..

 
Kadangkala,
kita menangisi sebuah kehilangan,
seolah-olah kita tidak lagi punyai apa-apa.
tapi benarkah kita telah hilang segalanya?

Seringkali,
kita meratapi sebuah kedukaan,
seakan-akan kita tidak pernah mengecap bahagia.
tapi benarkah hidup kita hanya ada derita?

Yang pergi, biarkan pergi.
Yang hilang, pastikan berganti.
Jangan berlebihan menangisi.
Usah terlalu meratapi.

Lihat pada dirimu,
pandang pada sekelilingmu,
masih ada banyak sebab untukmu tersenyum,
sedangkan mungkin hanya ada satu alasan untukmu menangis.

Lalu pilihlah untuk tersenyum pada hari ini.
Kerana semalam tidak dapat kembali lagi.
Namun hari ini ada harapan masih menyinari.




~Diadaptasi dari iluvislam~

~Sekeping Hati~


Seketul daging. Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan. Manusia.. Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.
Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan.
Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.
Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati... Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?
Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi.
Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini
menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci?
Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?
Kerana hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.
Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?
Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb.
Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna
dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga
di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!
Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh.
Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya.
Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi
tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.
Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi
hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?
Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri
tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan.
Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan.
Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.
Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini.
Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan.
Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya
dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.
Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat
dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.
Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam.
Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin.
Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, 
apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. 
Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. 
[HR Bukhari dan Muslim]

~Diadapatasi dari iluvislam~